TFC diminta waspada, pengalaman Liga M bersama Johor senjata Abbas Saad buat Coast Mariners


  • Podium
  • Selasa, 12 Sep 2023

Sebahagian aksi barisan pemain Sang Penyu menjelang persediaan aksi Liga Malaysia dan Piala AFC 2023. — Facebook/TFC

TERENGGANU FC (TFC) yang muncul naib juara Liga Super 2022 diletakkan dalam kumpulan sukar apabila perlu berdepan juara Liga Australia musim lalu, Central Coast Mariners dalam Kumpulan G untuk saingan Piala AFC 2023.

Dua lagi pasukan dilihat cukup hebat membabitkan juara Liga Satu Indonesia 2021-2022 iaitu Bali United, Filipina dan Stallion Laguna FC.

Sepak mula Piala AFC dijadual pada 20 September akan menyaksikan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner berdepan dengan Central Coast Mariners yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu.

Abbas

Jurulatih sementara Central Coast Mariners, Abbas Saad. — Agensi

Bagaimanapun, nama jurulatih sementara Central Coast Mariners, Abbas Saad curi tumpuan penyokong bola sepak tanah air kerana merupakan bekas pemain Johor pada era 1990-an.

Abbas yang pernah beraksi di bahagian tengah menyerang merupakan pemain yang melengkapkan trio import terbaik dimiliki skuad Johor pada tahun 1991.

Abbas Saad yang juga merupakan pengendali akademi kelab tersebut dilantik menjadi Ketua Jurulatih untuk menggantikan Nick Montgomery yang meletak jawatan untuk mengambil peranan sebagai jurulatih bersama Hibernian FC di Scotland.

Abbas merupakan bekas pemain tengah yang cukup berbakat selain pernah menjulang beberapa kejuaraan liga dan piala domestik di Malaysia dan kini telah membawa satu haluan baharu dalam karier kejurulatihannya.

Dalam pada itu, Abbas yang mempunyai pengalaman dalam Liga Malaysia pastinya sedikit memberi kelegaan kepada pasukannya kerana sudah pasti mengetahui suasana ataupun mengenali serba sedikit corak permainan pasukan domestik seperti Terengganu.

Oleh itu, penyokong Terengganu FC menzahirkan rasa bimbang dengan kehadiran bekas penyerang Johor itu yang kali ini akan tampil membimbing pasukan Central Coast Mariners. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram