SKUAD bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) perlu memberi segala kudrat mereka untuk memperoleh kemenangan perlawanan menentang Thailand bagi membolehkan Harimau Muda melangkah ke saingan Piala Asia B-23 secara automatik.
Dalam pusingan kelayakan Piala Asia B-23 yang diadakan di Chonburi, Thailand itu menyaksikan Harimau Muda sudah merekodkan dua kemenangan ke atas Bangladesh (2-0) dan Filipina 4-0 dan kini hanya perlu melepasi skuad Gajah Perang sebagai ujian terakhir.
Sekiranya Malaysia hanya sekadar merekodkan seri menentang Thailand, slot automatik ke Piala Asia akan menjadi milik Gajah Perang berikutan Harimau Muda hanya dibezakan dengan kelebihan dua jaringan selepas pasukan tuan rumah mengumpul sebanyak lapan gol.
Berdasarkan format kelayakan, hanya juara daripada 11 kumpulan dan empat naib juara terbaik akan layak terus ke Piala Asia.
Tahun ini, Harimau Muda dimalukan sebanyak dua kali di tangan Thailand itu ketika peringkat kumpulan Sukan SEA Kemboja (0-2) dan 3-4 dalam penentuan sepakan untuk menentukan kedudukan ketiga serta keempat Piala AFF B-23 di Stadium Rayong Provincial, Thailand.
Oleh itu, berdasarkan pemerhatian Majoriti sepanjang pusingan kelayakan Piala Asia ini, berikut tiga pemain Thailand B-23 yang perlu diawasi bagi sebelum membuat perhitungan dengan pasukan Gajah Perang;
1) Purachet Thodsanit
Purachet selepas menjaringkan gol menentang Bangladesh. — Facebook/Changsuek
Penyerang sayap Thailand B-23, Purachet Thodsanit menjadi antara pemain yang perlu diawasi pihak lawan untuk musim ini selepas dia hadir sebagai penjaring terbanyak untuk peringkat Kumpulan H bagi pusingan kelayakan ini.
Selepas dua perlawanan menang ke atas Filipina (5-0) dan menumpaskan Bangladesh (3-0), pemain berusia 22 tahun itu terlibat dalam merekodkan jaringan untuk kedua-dua aksi yang mana dua daripada hadir ketika menentang skuad Bengal Tigers.
Pemain kelab Liga Thailand Divisyen Satu, Muangthong United itu turut mencuri tumpuan dalam temasya Sukan SEA 2023 Kemboja dengan dia disifatkan sebagi seorang penyerang sayap yang kreatif kerana terlibat dalam cetakan gol dan hantaran bantuan.
Oleh itu, barisan pertahanan negara terutamanya bek kiri Harimau Muda, V. Ruventhiran akan berhadapan tugas sukar untuk mengawal ketangkasan dan menghalang Purachet daripada bergerak menyerang kubu Malaysia.
2) Thirawooth Sruanson
Gawang dijaga Thirawooth masih tidak dibolosi lawan. — Facebook/Changsuek
Thirawooth Sruanson antara penjaga gol Thailand B-23 yang sering mendapat tumpuan pengendali Issara Sritaro pada tahun ini apabila dia sudah menjadi taruhan sejak perlawanan persahabatan pada Mac 2023 menentang Qatar.
Dalam dua aksi kelayakan Kumpulan H Piala Asia B-23 itu, penjaga gol yang mempunyai ketinggian 1.90 meter tersebut bijak menggunakan kelebihan fizikalnya apabila tidak membiarkan lawan daripada membolosi gawang Gajah Perang.
Fakta menarik mengenai Thirawooth yang kini berusia 21 tahun itu ialah merupakan pelajar dari akademi bekas juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Leicester City selama dua tahun setengah sebelum menyertai Muangthong United pada 2019.
Dengan pengalaman Thirawooth yang kini bermain bersama Kasetsart FC di saingan divisyen dua Thailand itu diramal akan kekal memberikan prestasi cemerlang dalam menjaga gawang Gajah Perang daripada dibocori penyerang Harimau Muda.
3) Airfan Doloh
Airfan diberi kepercayaan untuk menjadi ketua pasukan. — Facebook/Changsuek
Jeneral tengah, Airfan Doloh boleh diibaratkan sebagai enjin yang menghidupkan bahagian serangan Thailand B-23 sejak dia mendapat panggilan dalam skuad itu pada 2020 dengan menyertai saingan Piala AFC B-23 tahun berkenaan.
Kecemerlangan pemain berusia 22 tahuh itu juga diakui oleh ketua pasukan Harimau Muda, Mukhairi Ajmal yang mana baru-baru ini dia mengakui Airfan antara tonggak perlu diawasi oleh rakan sepasukannya untuk meraih kemenangan tiga mata.
Dalam saingan kelayakan Piala Asia untuk Kumpulan H kali ini, kapten Gajah Perang itu juga menyumbat satu jaringan gol dalam mengesahkan kemenangan Thailand B-23 menumpaskan Bangladesh 3-0 di Stadium Chonburi pada Sabtu lalu.
Bercakap mengenai pengalamannya di peringkat domestik, pemain dari Kampung Jambu Rendang, yang terletak di daerah Bacho, Narathiwat itu sudah menimba pengalaman dengan Buriram United dan kini dipinjamkan ke Uthai Thani. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram