SEJAK program naturalisasi melibatkan skuad kebangsaan diadakan, terdapat beberapa nama pemain yang mendapat peluang untuk beraksi bersama Harimau Malaya.
Nama-nama seperti Guilherme de Paula, Liridon Krasniqi dan Sergio Aguero adalah contoh hasil daripada program naturalisasi buat skuad bola sepak negara kita.
Selain mereka, terdapat satu lagi nama iaitu Mohamadou Sumareh. Pemain yang pernah bermain bersama-sama PDRM FC dan Sri Pahang FC ini cukup sebati dengan kancah bola sepak Malaysia.
Kini bersama-sama Johor Darul Takzim (JDT), nama Sumareh seolah-olah mula hilang daripada radar apabila sudah kurang beraksi terutamanya bersama skuad utama Harimau Selatan.
Oleh kerana itu, penyokong Sabah FC melihat ini sebagai salah satu peluang untuk mendapatkan khidmat Sumareh bagi menguatkan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ini.
"Kalaulah musim depan Sabah FC dapat pinjam Sumareh kan bagus. Kesian dia tidak ada minit permainan tapi Sumareh ni walau tak ada minit (permainan) dia tetap padu," cadang penyokong bernama Mati Tanam.
Sumareh kini tidak menjadi pilihan Esteban Solari di JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Cadangan itu turut disokong oleh penyokong Sabah yang lain. Mereka menanggap ini adalah peluang untuk skuad Badak menambah squad depth terutamanya melibatkan pemain sayap.
"Bagus untuk squad depth itu pun kalau sesuai dengan bajet dan strategi jurulatih," komen Sylvester Taha.
"Okay juga dia ni. Kalau boleh jangan pinjamlah. Susah kalau lawan kelab asal, nanti jadi penonton saja. Dia ni masih boleh lagi dilentur," ujar Sharf Moss.
Namun begitu, ada juga penyokong yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut. Pada mereka, Sumareh sudah tidak sehebat sebelum ini.
"Alaa janganlah rugi, corak mainan dia pun tak seberapa," kata Saujih Mohd.
"Macam sudah berat je nak berlari tu," komen Michael Mikil pula.
Sumareh yang berusia 28 tahun masih belum melakukan sebarang penampilan untuk JDT dalam saingan Liga Super, tetapi sudah beraksi sekali untuk mereka dalam Piala Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram