Peluang masih luas, 3 harapan Sabah FC kekal di AFC musim depan


  • Podium
  • Rabu, 13 Sep 2023

Sekitar sesi latihan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee menjelang persiapan Liga Malaysia dan Piala AFC. — Facebook/sabahfc

KELAB Liga Super, Sabah FC akan menempuh satu lagi perjalanan menarik dalam kalendar bola sepak mereka apabila menyertai Piala AFC 2023.

Dengan baki perlawanan Liga Super semakin berkurang dan kempen Piala Malaysia memasuki separuh perjalanan, Sabah FC kini mempunyai aksi tambahan apabila membawa nama negara di peringkat Asia.

Penyertaan dalam Piala AFC membuatkan Sabah FC akan bertandang ke Singapura, Indonesia dan juga Vietnam untuk bertemu Hougang United, PSM Makassar dan Haiphong FC yang juga dalam Kumpulan H.

Bagaimanapun, hasrat kelab Borneo itu untuk terus mendapatkan tempat dalam pentas Asia musim depan berdepan kesukaran berdasarkan prestasi mereka ketika ini.

Meskipun ia menjadi satu cabaran, pasukan berkenaan pasti akan mengambil cabaran itu untuk menaikkan lagi nama mereka di peringkat global.

Sabah FC

Sebahagian aksi sesi latihan barisan pemain Sabah FC. — Facebook/sabahfc

Berikut Majoriti menyenaraikan tiga peluang Sang Badak kekal berada di AFC pada musim depan.

1. Juara Piala Malaysia

Berdasarkan peraturan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum ini, slot Piala AFC musim depan akan diberikan kepada juara Piala FA, namun ia tak dapat diberikan kerana dimenangi oleh Johor Darul Takzim (JDT).

Susulan itu, peraturan lama akan diguna pakai dengan peluang berkenaan akan diberikan kepada naib juara Liga Super dengan Sabah FC semakin sukar untuk mengejar slot itu jika melihat kepada jumlah kumpulan mata mereka.

Bagaimanapun, melihat kepada situasi musim lalu, terdapat perubahan pada minit-minit akhir yang mana MFL mengumumkan slot itu akan diberikan kepada pemenang Piala Malaysia.

Tetapi, ia sekali lagi tidak dapat diguna pakai apabila JDT turut mengungguli pertandingan berkenaan, lalu slot itu diberikan kepada skuad Sang Badak dan Terengganu FC.

Sekiranya perubahan sebegitu akan dibuat ketika ini, peluang untuk skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee (DOKS) untuk ke pentas Asia masih terbuka dengan mereka hanya perlu memberi tumpuan baki saingan Piala Malaysia dan cuba membawa piala berprestij itu ke Borneo.

2. Rebut tempat kedua Liga Super

Melihat kepada situasi semasa Sabah FC dalam kedudukan Liga Super 2023, sudah tentu akan mempunyai peluang untuk menduduki tangga kedua.

Hal ini kerana, Sang Badak yang berjaya mengutip 42 mata berpeluang untuk merebut tempat kedua liga yang kini dihuni oleh Selangor FC dengan kelebihan 49 mata selepas 22 perlawanan.

Sabah FC yang kini menduduki tangga keempat liga mempunyai laluan yang lebih mudah berbanding Selangor dan Kedah Darul Aman FC yang berada tangga ketiga.

Mengikut baki perlawanan, Sabah dilihat tidak berdepan laluan sukar dalam baki perlawanan kerana perlu berdepan tiga pasukan iaitu Perak, Terengganu dan Kelantan.

Hanya Kedah saingan yang mungkin sukar untuk mencuri mata tetapi kelebihan di tempat sendiri boleh dijadikan moral buat anak buah DOKS mencapai tiga mata penuh.

Dalam pada itu, Sabah FC perlu mengharapkan agar Gergasi Merah dan Sang Kenari akan melakukan kesilapan yang menyebabkan kedua-dua pasukan bakal keciciran mata.

3. Juara Piala AFC

Selain menjadi juara Piala Malaysia dan merebut tempat kedua Liga Super, Sabah FC juga berpeluang untuk kekal memberikan saingan dalam Piala AFC.

Sekiranya Sabah FC berjaya merangkul kejuaraan dalam saingan Piala AFC, tentunya skuad kendalian DOKS mempunyai peluang untuk menempah slot ke Liga Juara-juara AFC (ACL) dengan mengharungi pusingan kelayakan.

Difahamkan, jika Sang Badak berjaya menjulang Piala AFC nanti, ia merupakan jalan pintas untuk menembusi kejohanan itu pada musim hadapan.

Walaupun dijangka sukar namun tidak mustahil berikutan Sabah mempunyai barisan pemain yang cukup berkualiti untuk bersaing di peringkat Asia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram