Meletup bersama HM buat Sang Penyu rindu Faisal Halim, mujur ada bintang muda dianggap pengganti


  • Podium
  • Isnin, 11 Sep 2023

Sebahagian aksi menarik Mickey dan Akhyar Rashid ketika meraikan gol dengan membuat lompatan 'siuuu' selepas seri berdepan China. — Facebook/FAM

SELEPAS menampilkan aksi cemerlang bersama skuad kebangsaan, nama pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim menjadi bualan hangat para penyokong bekas pasukannya, Terengganu FC (TFC).

Dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 berdepan China, Faisal Halim berjaya meletakkan skuad negara mendahului 1-0 menerusi satu hantaran Akhyar Rashid untuk mengejutkan puluhan ribu penyokong tuan rumah.

Bagaimanapun, pasukan tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Lin Liang Ming pada minit ke-36 yang melepaskan tendangan deras sehingga menewaskan Syihan Hazmi.

Mickey

Mickey ketika menyarung jersi Sang Penyu. — Facebook/TFC

Menampilkan aksi cemerlang bersama skuad Harimau Malaya baru-baru ini membuat para penyokong Sang Penyu mulai merindui persembahan daripada bekas watak penting Sang Penyu, Faisal Halim atau mesra dengan panggilan Mickey itu.

"Rindunya pada susuk tubuh ini, antara player terbaik pernah ada dalam skuad Terengganu FC," kata Ahmad Ruslan.

Namun begitu, menerusi salah seorang pandangan penyokong Sang Penyu, Ali Hassan berasakan bahawa bintang muda TFC dilihat mampu menggantikan posisi Mickey jika diberi peluang oleh pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner.

Baginya, ketiadaan Mickey sedikit sebanyak memberi peluang kepada pemain muda untuk menunjukkan bakat masing-masing.

"Kita boleh menaikkan Kacang (Muhammad Syafik Ismail) selepas ketiadaan dia, banyak peluang Tomi bagi kepada Kacang berbanding musim lepas dan permainan Kacang pun bertambah baik.

"Cuma sekarang dia injured dan Tomi pun sudah perlahan-lahan bawa masuk Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar (Kaka). Selepas ini, jika permainan semakin baik, mungkin lebih kerap Kaka akan diturunkan.

"Tapi jangan kita lupa masih ada Muslihudin Atiq Mat Zaid lagi di TFC II, banyak hikmah sebenarnya ketiadaan Mickey, banyak bakat baru kita boleh nampak menonjol," katanya dalam hantaran di Facebook.

Untuk rekod, Faisal bermula menyertai TFC pada tahun 2021 dan mula menyerlah di bawah bimbingan bekas Ketua Jurulatih Sang Penyu, Nafuzi Zain.

Faisal terkenal sebagai pemain versatil kerana mampu memainkan peranan di posisi sayap kanan dan posisi sayap kiri.

Sepanjang dua tahun bersama TFC, Faisal merekodkan 15 gol dan 22 bantuan gol sepanjang 53 penampilannya bersama pasukan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram