KEKALAHAN tipis kepada Thailand pada Selasa menyaksikan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara menamatkan saingan peringkat kumpulan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 di tangga kedua.
Situasi berkenaan boleh dianggap sebagai telur di hujung tanduk memandangkan hanya empat daripada 11 naib johan kumpulan akan melayakkan diri ke peringkat seterusnya.
Bagaimanapun, kekalahan yang dialami Iran ketika berdepan Uzbekistan dalam Kumpulan E memberi kelegaan buat Harimau Muda apabila mereka berada dalam golongan empat naib johan terbaik.
Pencapaian berkenaan menyaksikan skuad muda kebangsaan layak ke Piala Asia B-23 buat tahun kedua berturut-turut dengan mereka juga merupakan satu daripada empat pasukan Asia Tenggara yang menempah slot berkenaan.
Namun, melihat kepada prestasi semasa pasukan, terdapat kegusaran yang ditonjolkan penyokong bola sepak tanah air mengenai situasi semasa mereka.
Skuad muda negara tewas di tangan Thailand dengan skor 0-1 pada Rabu. — Facebook/FAM
Kesukaran untuk menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga teratas membuktikan bahawa skuad kendalian E Elavarasan sudah belum cukup bersedia untuk memberikan saingan.
Selain itu, pendekatan taktikal jurulatih berusia 61 tahun tersebut juga kerap dipertikaikan dengan orang ramai mengatakan percaturannya tidak sesuai dengan falsafah bola sepak hari ini.
Jadi, mereka melihat pencapaian untuk melayakkan diri ke Piala Asia B-23 itu belum boleh diraikan sekiranya situasi semasa pasukan terus dikekalkan.
Antara yang turut berpandangan sedemikian ialah pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Jamal Nasir yang mahu solusi pantas dicari untuk skuad B-23 negara.
"Kita tak boleh nak bangga sangatlah kerana kita bukanlah layak secara merit. Jadi, banyak perkara perlu diperbaiki dan diperbetulkan kerana kita pergi ke Piala Asia pada Julai akan datang.
Jamal Nasir mahu persiapan lebih rapi dibuat FAM untuk skuad muda negara.
"Jadi, bagi saya, ini satu pengajaran untuk kita lebih bersedia untuk kita ke Piala Asia kerana kita ada masa lebih kurang sepuluh bulan dan perlu buat perancangan," katanya kepada Majoriti.
Jelasnya, persiapan lebih awal perlu dilakukan dalam tempoh berkenaan dengan penganjuran aksi persahabatan peringkat antarabangsa merupakan salah satu cara terbaik.
Berdasarkan carta naib juara, skuad muda negara berada di tangga keempat dengan Kuwait, Tajikistan dan China turut melayakkan diri.
Pasukan kebangsaan layak selepas mengumpul enam mata secara keseluruhan, namun tiga mata yang dikira menurut format pertandingan sudah cukup buat Harimau Muda.
Mengulas lanjut, Jamal turut melihat gesaan ramai untuk menyaksikan Elavarasan digugurkan daripada jawatannya adalah tidak wajar.
Elavarasan diberi tekanan daripada penyokong bola sepak tanah air atas prestasi pasukan yang tidak menentu. — Facebook/FAM
"Saya tak mahu menyalahkan mana-mana pihak. Kita sebagai rakyat Malaysia perlu beri sokongan buat pemain dan pasukan kebangsaan.
"Jika kita mengatakan lucutkan jawatan Elavarasan dan bawa masuk individu lain, adakah dia akan berjaya?" soalnya.
Tahun lalu, bekas pengendali Sarawak United berkenaan dilantik sebagai ketua jurulatih skuad B-23 negara untuk menggantikan Brad Maloney.
Meskipun masih belum memberikan impak terbaik, Elavarasan terus memecahkan pendapat mengenai tempoh kendaliannya dengan sebahagian penyokong masih mahu memberikan masa buatnya.
Antara pencapaian yang pernah diraihnya bersama Harimau Muda adalah apabila dia menjulang Piala Merlion 2023 dan tempat keempat dalam saingan Piala AFF B-23 2023.
Bagaimanapun, pendekatan yang diambilnya di atas padang sering menimbulkan tanda tanya sehingga orang ramai mahu pengganti sewajarnya dibawa masuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram