Dapat ‘ihsan’ Uzbekistan, Harimau Muda lega tempah slot Piala Asia B-23 2024


  • Podium
  • Rabu, 13 Sep 2023

Skuad kendalian E. Elavarasan berjaya menempah slot ke Piala Asia B-23 di Qatar 2024. — Facebook/FAM

HASRAT Malaysia ke Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) 2024 akhirnya tercapai selepas rekod disiplin mereka yang kurang dilayangkan kad kuning berjaya mengatasi Iran untuk slot terakhir naib juara kumpulan.

Walaupun tewas kepada Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan H, skuad B-23 negara sebelum ini perlu menunggu keputusan kumpulan kelayakan lain bagi mengetahui sama ada mereka layak atau tidak.

Namun, skuad kebangsaan bernasib baik apabila pasukan Uzbekistan menewaskan Iran sekali gus berjaya membantu Malaysia berada dalam kelompok dua terbaik kelayakan Piala Asia B-23.

Skuad kendalian E Elavarasan itu menjadi pasukan terakhir layak selaku naib juara terbaik bersama Kuwait, Tajikistan dan China.

WhatsApp Image 2023-09-13 at 10.37.57

Pasukan kebangsaan layak ke Piala Asia B-23 2024 Qatar.

Melihat kepada kedudukan semasa skuad Malaysia dan Iran, kedua-kedua pasukan yang berada di tangga keempat dan kelima carta dilihat terikat kerana memiliki jumlah mata dan perbezaan gol yang sama iaitu +3 sekaligus membawa kepada penentuan rekod disiplin.

Nasib menyebelahi Harimau Muda apabila peraturan mata disiplin dikira dengan Malaysia layak kerana hanya mengutip empat kad kuning berbanding Iran yang mendapat sembilan kad kuning.

Untuk rekod, ini kali ketiga Malaysia layak ke Piala Asia B-23 selepas kali pertama pada edisi 2018 dan 2022.

Pencapaian terbaik skuad negara adalah pada 2018 di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee apabila mara sehingga ke peringkat suku akhir namun tewas 1-2 di tangan Korea Selatan.

Kejohanan Piala Asia B-23 akan berlangsung di Qatar pada 15 April sehingga 3 Mei 2024. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram