KETIKA persembahan berkelas tinggi amat diperlukan dalam aksi bertemu dengan Thailand, skuad B-23 tidak menonjolkannya lantas mengecewakan para penyokong.
Dalan perlawanan menentukan untung rugi Malaysia di kelayakan Piala Asia B-23 di Chonburi, skuad kendalian E. Elavarasan ini tidak menghasilkan penyudah tajam untuk membocori pintu gol Thailand.
Sudahlah gagal mencari gol, gawang negara dibocori oleh pasukan lawan dengan Yotsakon Burapha menewaskan Sikh Izhan pada separuh masa pertama.
Perkara ini nyata tidak boleh diterima penyokong dan mereka meluahkan rasa bosan dengan taktikal Elavarasan yang dilihat tidak berkesan serta gagal membawa kemenangan.
Mukhairi Ajmal tidak beraksi seperti diharapkan penyokong. — Facebook/FAM
Rata-rata penyokong kecewa dengan pendekatan santai Elavarasan yang seolah Harimau Muda sudah mendahului dari awal permainan.
"Separuh masa pertama, guna taktikal seakan-akan tengah mendahului. Separuh masa kedua, baru nak tekan cari gol. Tujuannya untuk mengelirukan pihak lawan dan penjaga gol sendiri," kata penyokong Izuddin Istakal.
"Barai budak-budak ni main, penyudah tak ada banyak hold game, bola banyak terlepas, pertahanan barai, hantar ke belakang dan tak berani kawal bola. Banyak main hantaran jauh, taktikal ada tapi tak reti guna," ujar Amir Haizad.
"Gila. Terlampau relaks main terutamanya pertahanan. Urgency pun tak ada. Pertahanan kiri tak ada orang lain ke? Balik-balik hantar jauh. Jalan kaki. Lambat tutup pergerakan pemain sayap. Nampak Nooa Laine saja yang berfungsi. Mukhairi macam berat semacam," kritik Shamsul Adzrin.
Fergus Tierney menjadi mangsa kekasaran pemain Thailand. — Facebook/FAM
Penyokong yang kecewa turut berasakan masa Elavarasan sudah tamat dan ini memerlukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mencari penggantinya.
"Tengok cara main, elok FAM cari jurulatih lain," kata Cicit Ismet Ulam Raja.
"Baik tukar jurulatih, itulah penyelesaian terbaik! Taktikal dan corak permainan macam ni memang susah nak ke tahap tinggi," komen A'dien Aman.
"Selagi jurulatih tak ditukar, pasukan negara tidak akan boleh pergi jauh. Perancangan dan strategi yang tiada hala tuju, pemain hilang fokus ketika membuat serangan.
"Hantaran bola kucar-kacir, tiada pun corak yang tersusun daripada jurulatih. Pemain yang ada berbakat tapi kelemahan jurulatih adalah ketara," jelas Penerangan KZ.
Jaringan tunggal Yotsakon itu cukup untuk menewaskan Malaysia dan skuad negara perlu menunggu keputusan aksi-aksi kumpulan lain untuk ketahui nasib mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram