SEJAK diambil-alih syarikat telekomunikasi XOX Sdn Bhd pada 2021, Perak FC dikatakan sudah boleh melupakan episod gelap yang pernah dialami mereka mengenai isu pembayaran gaji.
Masalah yang dihadapi pemain serta staf kejurulatihan pasukan menyaksikan mereka berdepan tekanan cukup hebat sehingga tersingkir ke saingan Liga Perdana pada 2021.
Tetapi, sejak kehadiran pemilik baharu itu, skuad The Bos Gaurus (TBG) berada dalam keadaan lebih baik meskipun masih belum dapat menghidupkan semula zaman kegemilangan mereka.
Ketika ini, pasukan Utara tanah air tersebut berada di tangga ke-11 Liga Super dengan masih terdapat lima perlawanan perlu ditempuhi mereka.
Dalam saingan Piala Malaysia pula, Perak FC berjaya melakar kejutan apabila melayakkan diri ke peringkat suku akhir setelah menyingkirkan Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Kedua-dua pencapaian itu sudah cukup untuk membuktikan bahawa skuad TBG berada dalam landasan terbaik selepas bergelumang dengan isu kebajikan selama beberapa musim.
Skuad TBG sudah dibolosi sebanyak 47 kali dalam 21 perlawanan Liga Super 2023. — Facebook/Perak FC
Bagaimanapun, untuk mengharungi saingan Liga Super akan datang, pasukan kendalian Yusri Che Lah masih perlu melakukan perubahan, lebih-lebih lagi dari segi pertahanan.
Ia berikutan statistik merisaukan ketika ini dengan Perak FC berada di tangga ketiga untuk rekod pertahanan paling buruk dengan hanya Kelantan FC dan Kelantan United FC melepaskan lebih banyak gol.
Namun, melihat kepada struktur kewangan kelab, terdapat kesukaran buat skuad TBG mendapatkan pemain berkualiti dalam posisi itu dalam masa terdekat.
Tetapi, sekiranya ditanya kepada rata-rata penyokong pasukan, harapan tertinggi mereka untuk menyelesaikan masalah berkenaan adalah dengan mendapatkan semula bekas pemain, Shahrul Saad.
Dia yang menyertai Perak FC pada 2016 boleh dianggap sebagai antara bek tengah terbaik negara apabila persembahan konsistennya menerima pujian melambung.
Reputasinya yang baik itu ditonjolkan di peringkat kelab serta ketika bersama skuad kebangsaan dengan ketangkasan serta kecekapannya merupakan aset utama Shahrul Saad.
Khidmat Shahrul Saad kurang ditagih JDT dalam Liga Super musim ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Namun, selepas skuad TBG dibelenggu isu kewangan, pemain yang juga dikenali sebagai Badak tersebut memilih untuk menyertai jaguh bola sepak tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) pada 2021.
Tetapi, dengan kehadirannya sudah semakin dilupakan bersama skuad Harimau Selatan musim ini, terdapat kemungkinan untuknya kembali menyertai pasukan Utara tanah air berkenaan.
Antara yang bercita-cita untuk menyaksikan kepulangan Shahrul ialah laman penyokong Perak FC, Silver Retro yang berharap pihak pengurusan dapat merealisasikan hasrat itu.
"Kini, Perak FC di tahun 2023 dilihat mengalami situasi yang ketandusan pemain pertahanan berkualiti di bahagian benteng sentiasa menjadi masalah utama pasukan.
"Yusri Che Lah mempunyai ramai pemain pertahanan tetapi jika Shivan Pillay digantung, cedera atau tidak bermain, Perak pasti hilang punca dan sangat mudah untuk Perak tewas dengan teruk," tulisnya.
Dalam saingan Liga Super musim ini, skuad TBG kerap menurunkan gandingan Shivan bersama Sunday Afolabi sebagai bek tengah sementara Raja Imran Shah dan Jesper Nyholm kerap juga dimasukkan.
Kehadiran Jesper masih belum membaiki masalah pertahanan skuad TBG. — Facebook/Perak FC
Tetapi, kehadiran mereka masih belum cukup untuk menyelesaikan masalah kerapuhan benteng pertahanan sehingga menjejaskan peluang pasukan dalam mengutip lebih banyak mata dalam Liga Super.
Meskipun Shahrul Saad sudah berusia 30 tahun, pengalamannya bersama skuad TBG dan Harimau Malaya boleh membantu memperbaiki aspek pertahanan dalam masa-masa akan datang.
Bagaimanapun, isu kecederaan yang dialami Badak akan memberikan satu kerunsingan buat pihak kejurulatihan Perak FC dengan perkara itu hanya akan menjejaskan jumlah penampilannya.
"Berdasarkan rekod, Shahrul Saad bukanlah kali pertama beraksi di luar Perak apabila pernah bersama pasukan Felda United, namun berusaha sendiri menebus kontraknya semata-mata mahu pulang berbakti buat pasukan kelahiran.
"Dia mungkin sedang selesa berada di negara orang namun tidak mustahil boleh kembali kerana Perak adalah segalanya-galanya," tulisnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram