Minit permainan penting? Akhyar Rashid bukti keputusan tepat KPG


  • Podium
  • Selasa, 12 Sep 2023

Akhyar Rashid mencatatkan jaringan ketika bertemu Syria sewaktu di Chengdu. — Facebook/FAM

PEMILIHAN pemain yang dilakukan oleh jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon ada masanya mencetuskan persoalan dan perdebatan dalam kalangan penyokong.

Hal ini tertumpu kepada pemain-pemain yang dipanggil oleh Pan-gon yang tidak mempunyai minit permainan bersama kelab mereka. Pada pemikiran penyokong, mestilah persembahan mereka 'berkarat' kerana jarang beraksi bukan?

Sebagai contoh, Akhyar Rashid. Nama pemain sayap ini sering menjadi pertikaian penyokong kerana kekurangan aksi bersama peringkat kelab namun masih menjadi pilihan Pan-gon untuk mewakili Malaysia.

Adakah Pan-gon melakukan kesilapan dalam membuat pertimbangan melibatkan pemain pilihannya? Jika dilihat pada statistik, pengendali itu telah membuktikan apa yang penyokong fikirkan adalah salah.

375323045_1006801833726386_3541023202053882935_n (1)

Akhyar cukup cemerlang sewaktu bertemu Syria. — Facebook/FAM

Sejak mengambil alih skuad kebangsaan, Pan-gon telah menjadi Akhyar sebagai wild card dalam taktikalnya. Untuk rekod, pemain ini telah diturunkan sebanyak 13 kali sebagai kesebelasan utama atau pemain gantian.

Dalam 13 aksi itu, Akhyar telah bermain selama 707 minit. Sebagai perbandingan, ia adalah lebih banyak berbanding rekod dicatatkannya bersama-sama Johor Darul Takzim (JDT) dalam saingan Liga Super (11 penampilan).

Apa yang menarik mengenai persembahan Akhyar bersama-sama Harimau Malaya ini adalah dia sentiasa klinikal untuk barisan serangan negara. Setiap kali berada di padang, kewujudan pemain bertubuh kecil ini sudah cukup menggusarkan pihak lawan.

Perkara ini terbukti apabila rekod G/A (goal/assist) Akhyar untuk Malaysia sangat baik ketika era Pan-gon. Sepanjang dibimbing oleh Pan-gon, Akhyar telah terlibat dalam lapan kali penglibatan gol (goal involvement) untuk Malaysia.

Pada yang tidak mengerti, goal involvement adalah penglibatan seseorang pemain dalam sesebuah jaring baik sebagai penjaring atau pembantu penjaring (assist).

375585032_1008363833570186_3964736225272477746_n

China mengalami masalah untuk mengawal pergerakan Akhyar. — Facebook/FAM

Dalam lapan penglibatan gol Akhyar untuk Malaysia, lima daripadanya adalah jaringannya sendiri dan tiga lagi merupakan bantuan untuk rakan sepasukan.

Malah ketika beraksi di Chengdu, Akhyar terlibat dalam dua gol untuk Harimau Malaya. Ketika menentang Syria, pemain ini mencatatkan satu jaringan dan menghasilkan bantuan gol untuk Faisal Halim semasa menentang China.

Minit bukan segalanya

Daripada persembahan Akhyar bersama-sama Harimau Malaya, boleh menjadi bukti kepada hujah yang tidak semua pemain akan berkarat jika jarang beraksi.

Akhyar mungkin adalah pemain yang benar-benar menepati sistem Pan-gon, dan kerana itu kita jarang melihat pemain tersebut mengalami hari yang sukar sewaktu bersama skuad kebangsaan.

Benar, untuk memikat hati jurulatih kebangsaan, minit permainan diperlukan agar ia menjadi CV seseorang pemain itu nampak baik. Tetapi dalam kes Akhyar, formula itu tidak boleh digunakan.

Pihak lawan mungkin akan rasakan Faisal Halim atau Arif Aiman adalah ancaman utama Harimau Malaya tetapi Akhyar ibarat swiss knife yang boleh menikam jika mereka tidak endahkan kewujudannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram