Nooa Laine patutnya aset penting HM, tapi tak ‘dipakai’ sebaik mungkin


  • Podium
  • Rabu, 13 Sep 2023

Sebahagian aksi menarik antara Harimau Muda berdepan Thailand. — Facebook/FAM

HASRAT skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan untuk menjuarai Kumpulan H tidak kesampaian selepas tewas 0-1 kepada Thailand pada aksi Kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Stadium Chonburi, Bangkok, Thailand pada Selasa.

Dalan perlawanan tersebut, skuad kendalian E. Elavarasan tidak menghasilkan penyudah tajam untuk membolosi pintu gol Thailand.

Malah, jaringan tunggal penyerang Thailand, Yotsakon Burapha pada minit ke-20 itu sekali gus memusnahkan harapan Malaysia untuk layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2024.

Ia gol pertama yang dibolosi skuad negara selepas tidak melepaskan sebarang gol dalam dua perlawanan pertama berdepan Bangladesh dan Filipina sebelum ini.

Nooa Laine

Sekitar aksi pemain kebangsaan, Nooa Laine dikawal ketat oleh Thailand. — Facebook/FAM

Kekalahan itu menyaksikan skuad negara menamatkan kedudukan di tangga kedua kumpulan manakala Thailand selaku juara kumpulan dan layak secara automatik ke pusingan akhir tahun depan.

Dalam pada itu, menurut perkongsian pemerhati sukan, T.Avineshwaran, perlawanan berdepan Thailand merupakan aksi yang dinanti-nantikan oleh pasukan kebangsaan.

Tambahnya, skuad Gajah Perang itu berjaya membuktikan pasukan kendalian Issara Sritaro mampu menempah slot dalam Piala Asia B-23.

Bagaimanapun, dari sudut pandangan positif, wartawan sukan The Star itu berasakan pemain kacukan Finland-Malaysia, Nooa Laine bakal menjadi aset penting buat Harimau Malaya pada masa akan datang.

Berikutan ketenangan pemain berusia 20 tahun itu dalam mengawal bola dan situasi di atas padang, Avineshwaran tetap berasakan Nooa masih kurang diberi perhatian oleh pengendali pasukan.

Jelasnya lagi, masih banyak yang perlu diperbaiki oleh pasukan kebangsaan untuk memastikan skuad Harimau Muda mampu memberikan saingan di peringkat Asia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram