SENYUMAN masih terukir di wajah penyokong bola sepak tanah air apabila mengingatkan kejayaan skuad Harimau Malaya untuk mengikat pasukan di tangga ke-80 dunia, China pada Sabtu lalu.
Jaringan Faisal Halim pada minit ke-11 meletakkan pasukan negara di depan, sekali gus menyepikan ribuan penyokong dalam Stadium Phoenix Hill, China.
Meskipun skuad kendalian Kim Pan-gon akhirnya terpaksa akur dengan jaringan penyamaan Lin Liangming, kecemerlangan benteng pertahanan pada separuh masa kedua menyebabkan perlawanan berakhir dengan skor 1-1.
Keputusan berkenaan sudah semestinya menggembirakan penyokong bola sepak tempatan yang berasakan masa depan pasukan negara sudah semakin cerah.
Bagaimanapun, bagi penyokong tuan rumah pula, mereka berpendapat kesungguhan anak-anak buah Aleksander Jankovic itu tidak berada di tahap terbaik.
Selain itu, mereka turut berpandangan kegagalan pasukan negara berkenaan untuk meraih kemenangan di laman sendiri sewajarnya dipersoalkan, lebih-lebih lagi ketika berdepan lawan yang berkedudukan lebih rendah.
Pasukan negara meraikan jaringan pembukaan ketika berdepan China. — Facebook/FAM
Untuk meluahkan rasa kecewa itu, ribuan penyokong bola sepak China yang hadir di stadium bertindak mengecam pemain serta staf kejurulatihan selepas perlawanan berkenaan berakhir.
Terdapat juga laporan media antarabangsa yang mengatakan mereka mahu pihak penganjur membayar semula wang pembayaran tiket sebagai 'ganti rugi' atas keputusan seri itu.
Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, timbulnya isu baharu yang mengatakan tindakan penonton di stadium tersebut tidak diterima baik pihak kejurulatihan pasukan China.
Dalam satu rakaman amatur yang kini tular di media sosial, kelihatan pembantu jurulatih, Zheng Zhi merenung ke arah orang ramai dengan riak wajah kemarahan.
Meskipun tidak mengeluarkan sebarang kata-kata dan reaksi, tindakan itu seperti menunjukkan bahawa pihaknya kurang senang dengan kelakukan penyokong.
After China's 1:1 draw with Malaysia at Chengdu Phoenix Hill Sports Park, Zheng Zhi, the legendary former player for China who is now the assistant coach, had a verbal altercation with local fans and stared angrily at the stands. pic.twitter.com/PA5toidASF
— China Sports Vision 2050 (@CSV2050) September 10, 2023
Berdasarkan satu ciapan di Twitter China Sports Vision 2050, terdapat juga kejadian legenda bola sepak China itu berperang mulut dengan orang ramai.
"Selepas China seri dengan Malaysia di Stadium Phoenix Hill, Zheng Zhi yang kini menjadi pembantu jurulatih mula mencetuskan perbalahan dengan penyokong dan merenung mereka dari kawasan teknikal," tulisnya.
Namun, menurut pemerhatian terhadap klip pendek itu, perbalahan berkenaan gagal direkodkan, sekali gus membuatnya sebagai satu tuduhan tanpa bukti kukuh.
China bakal berdepan Syria dalam satu lagi aksi persahabatan selepas ini sementara Harimau Malaya bakal berdepan India dalam saingan Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 13 Oktober. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram