Belum cukup 'boom' seperti Faisal Halim, Pestabola Merdeka diharap mampu jadi medan kebangkitan Arif Aiman


  • Podium
  • Ahad, 10 Sep 2023

Penampilan Arif Aiman bersama skuad kebangsaan sering menjadi bahan bualan penyokong bola sepak tanah air. — Facebook/FAM

PELBAGAI perkara boleh dikupas daripada dua perlawanan antarabangsa berdepan Syria dan China yang dihadapi Harimau Malaya pada Rabu dan Sabtu lalu.

Kecemerlangan yang dipamerkan kesemua anak-anak buah Kim Pan-gon sepanjang dua perlawanan terbabit pastinya menjadi antara topik dibincangkan.

Pemain sayap kiri, Akhyar Rashid pastinya menjadi titik perhatian selepas penyerang tersebut menjaringkan satu gol serta mencipta satu bantuan jaringan.

Selain itu, beberapa pemain di posisi pertahanan, seperti Syihan Hazmi dan Corbin Ong juga menjadi antara yang meniti bibir penyokong selepas dua persembahan memberangsangkan di Chengdu, China.

Bagaimanapun, di sebalik pujian-pujian itu, masih wujudnya komen-komen yang berunsur kritikan serta teguran buat sebilangan pemain kebangsaan.

Salah seorang yang mencuri tumpuan pastinya pemain sayap berusia 21 tahun, Arif Aiman Hanapi apabila penyerang itu memikul tanggungjawab besar dalam kedua-dua pertembungan terbabit.

2136196

Arif Aiman akan sering dibandingkan dengan rakan sepasukannya, Faisal Halim. Facebook/FAM

Ia selepas tonggak Johor Darul Takzim (JDT) itu mencatatkan hatrik dalam penampilan terakhirnya menentang Papua New Guinea, sekali gus menjadikannya sebagai ayam tambatan skuad kebangsaan.

Namun, ketika perlawanan menentang Syria, pemain berkenaan hanya diturunkan selama 45 minit selepas kehadirannya diberikan perhatian penuh oleh pihak lawan.

Kesukarannya untuk berbuat apa-apa menyaksikan Pan-gon terpaksa mengeluarkannya pada babak kedua permainan, sekali gus menyaksikan segelintir penyokong bola sepak tanah air mempersoalkan semangatnya.

Antara yang tampil memberikan pandangannya ialah pengguna Facebook, Nazrul Anwar yang berasakan Arif Aiman hilang punca ketika perlawanan persahabatan itu.

"Malah tak dinafikan Arif Aiman belum betul-betul menyinar bersama pasukan kebangsaan sejak kali pertama sarung jersi skuad senior, kecuali ketika menentang Papua New Guinea.

"Perlawanan menentang Syria memang nampak dia tak selesa. Pan-gon masukkan dia ketika babak kedua menentang China pun masih tak menjadi. Apabila ada pemain pertahanan China di hadapan, gelecek bola pun tak yakin," katanya.

Setakat ini, pemain sayap lincah berkenaan sudah mencatatkan 18 penampilan bersama skuad kebangsaan dengan lima gol berjaya dijaringkannya.

WhatsApp Image 2023-09-10 at 21.21.29

Skuad Harimau Malaya bakal berentap dalam Pestabola Merdeka pada 13 Oktober depan.

Namanya dijangka akan menjadi antara yang pertama dalam senarai Pan-gon untuk dibawa ke Qatar bagi saingan Piala Asia yang bakal berlangsung pada awal tahun depan.

Tambah penyokong itu lagi, Arif Aiman juga dilihat masih jauh untuk dibandingkan dengan seorang lagi penyerang sayap, Faisal Halim yang sudah mengukuhkan tempatnya bersama Harimau Malaya.

"Berbeza dengan Faisal yang sudah terbiasa untuk turun bawah dan bantu benteng pertahanan, tetapi tidak untuk Arif Aiman yang di JDT tugas bertahan kurang diperlukan.

"Masih muda, pelapis negara yang perlu diberikan ruang. Moga ketika Pestabola Merdeka nanti, Arif Aiman dapat buktikan kemampuan sebenar menentang pasukan yang lebih kuat," tulisnya.

Selepas ini, skuad kebangsaan bakal berentap dalam saingan Pestabola Merdeka yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 13 Oktober.

Pasukan lain yang menyertai kejohanan edisi kali ke-42 itu ialah India, Tajikistan dan Palestin dengan perlawanan akhir bakal diadakan pada 17 Oktober di venue yang sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram