Ramalan aksi Harimau Muda tundukkan Thailand, misi sukar cari tempat di Piala Asia B-23


  • Podium
  • Isnin, 11 Sep 2023

Skuad Harimau Muda ketika sesi latihan bagi persiapan menghadapi Thailand dalam perlawanan akhir kelayakan Piala Asia B-23 Kumpulan H. — FAM

SELEPAS mengharungi dua perlawanan pertama kelayakan Piala Asia B-23, skuad Harimau Muda kini berada di kedudukan tangga kedua Kumpulan H hasil daripada dua kemenangan yang diperoleh.

Kemenangan direkodkan itu masing-masing ketika menentang Bangladesh 2-0 dan Filipina 4-0.

Pada waktu ini, anak buah E Elavarasan yang berjaya memungut mata maksimum iaitu enam mata hanya dibezakan dengan perbezaan jaringan gol berbanding pendahulu kumpulan iaitu Thailand.

Berdasarkan format kelayakan, hanya juara daripada 11 kumpulan dan empat naib juara terbaik akan layak terus ke Piala Asia.

Disebabkan itu, perlawanan ketika menentang pasukan Gajah Perang dilihat sangat penting untuk memastikan skuad Harimau Muda layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 yang akan berlangsung di Qatar pada tahun depan.

376803304_1008301280243108_8335427844928671865_n

Pemain Harimau Muda meraikan jaringan ketika bertemu Filipina baru-baru ini. — FAM

Bagaimanapun, pasukan kendalian Elavarasan dijangka bakal berdepan cabaran yang agak sukar ketika menentang Thailand dalam aksi yang bakal berlangsung di Stadium Chonburi, Thailand pada Selasa.

Ini kerana skuad muda Gajah Perang itu dilihat kini berada di prestasi terbaik apabila berjaya menewaskan kedua-dua lawan dengan jaringan begitu selesa iaitu 5-0 ketika menentang Filipina dan 3-0 (Bangladesh).

Keputusan menang bakal menyaksikan Harimau Muda akan layak secara automatik ke pusingan akhir manakala jika hanya mencatatkan seri, ia akan menyebabkan skuad muda negara perlu bergantung kepada keputusan di kumpulan lain.

Berikut merupakan ramalan daripada wartawan Majoriti iaitu Zikry Marzuki dan Nazreen Izahar bagi perlawanan terbabit:

Zikry — Harimau Muda mungkin tewas 0-2 dibelasah Gajah Perang

376723883_1008301533576416_3667893432407628633_n

Kesebelasan utama Harimau Muda ketika bertemu Filipina baru-baru ini. — FAM

Dalam saingan kali ini, Thailand dilihat begitu dominan dengan melihat kepada aksi mereka ketika menentang Filipina dan Bangladesh.

Sementara itu, skuad Harimau Muda pula dilihat mempamerkan aksi tidak konsisten di sebalik dua kemenangan yang dicapai sebelum ini. Ini mengambil kira kepada prestasi ditunjukkan ketika saingan Piala AFF B-22 baru-baru ini.

Dalam kejohanan tersebut, meskipun bersinar di peringkat kumpulan, tapi anak buah Elavarasan dilihat begitu mudah ditewaskan 1-4 di peringkat separuh akhir di tangan Vietnam.

Disebabkan itu, saya menjangkakan pasukan Harimau Muda berkemungkinan tewas 0-2 ketika menentang Thailand nanti tambahan pula pasukan lawan beraksi di gelanggang sendiri.

Bagaimanapun, anak buah Elavarasan masih boleh diharapkan mencipta kejutan dengan keputusan sekurang-kurangnya seri bagi meningkatkan lagi peluang untuk mereka mara ke pusingan akhir dalam kalangan naib juara kumpulan.

Nazreen — Boleh catat seri barisan tapi pertahanan perlu lebih fokus

2276793

Fergus (kiri) dijangka menjadi pemain tumpuan dalam aksi menentang Thailand pada Selasa. — FAM

Kunci kejayaan kepada perlawanan menentang Thailand adalah disiplin dan fokus. Skuad Harimau Muda tidak boleh leka dalam perlawanan ini terutamanya di bahagian pertahanan untuk mengelak daripada bolos.

Setiap peluang yang dicipta harus disempurnakan dengan baik. Thailand pastinya tidak mahu memberikan peluang muda kepada anak-anak buah Elavarasan.

Pasukan juga tak perlu terlalu hormati Thailand. Mengambil semangat daripada skuad senior yang seri ketika bertemu Syria dan China, Harimau Muda seharusnya berani melawan dan tak mudah menyerah.

Saya menjangkakan keputusan seri 1-1. Antara pemain yang diharapkan dapat membantu Malaysia memberikan ancaman dan menjaringkan gol ialah penyerang negara, Fergus Tierney.

Pada masa sama, barisan pemain Harimau Muda juga perlu merantai gerakan pemain tengah yang juga kapten Thailand Airfan Doloh yang menjadi nadi kepada pasukan Gajah Perang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram