Hadapi zaman gelap, fans Singapura mahu pengendali Kuching City jadi 'hero' negara


  • Podium
  • Ahad, 10 Sep 2023

Aidil Sharin didambakan oleh penyokong Singapura untuk menyelamatkan pasukan kebangsaan mereka.

SEKARANG ini, pastinya adalah waktu yang terbaik menjadi penyokong Harimau Malaya, bukan?

Mana tidaknya, pasukan kebangsaan dikendalikan oleh pengendali berwibawa iaitu Kim Pan-gon dengan para pemain terus cemerlang ketika beraksi selain ranking semakin meningkat.

Bukan itu sahaja, kita juga bakal berdepan jagoan Asia di Piala Asia 2023 yang diadakan di Qatar pada Januari 2024.

Namun itu adalah cerita kita, berbeza pula buat musuh tradisi Harimau Malaya di seberang tambak iaitu Singapura.

Jika ada yang tidak perasan, Singapura kini terjerumus dalam zaman gelap bola sepak mereka. Dahulunya, mereka amat digeruni bahkan merupakan antara kuasa besar bola sepak Asia Tenggara dengan empat kejuaraan Piala AFF atas nama Sang Singa.

Namun itu cerita lama, kini segalanya tidak kena buat Singapura dalam sukan bola sepak baik buat pasukan senior atau junior.

Bagi pasukan senior, mereka tidak layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023. Lebih memilukan, mereka baru saja kalah kepada Tajikistan dalam perlawanan persahabatan pada Jumaat.

Bagi skuad junior pula, mereka berhempas-pulas dalam kelayakan Piala Asia B-23 hinggakan Singapura cuma mampu seri sahaja ketika bertemu Guam. Untuk rekod, peluang mereka ke pusingan akhir di Qatar sudah tertutup.

Jelas sekali, tekanan memuncak buat FA Singapura untuk membaiki mutu kualiti bola sepak mereka. Malah, ada penyokong yang mahukan beberapa nama mengambil alih posisi ketua jurulatih Sang Singa daripada Takayuki Nishigaya.

Seorang penyokong telah mencadangkan empat nama untuk menggantikan Nishigaya dan salah satu nama adalah pengendali Kuching City FC iaitu Aidil Sharin.

Nama Aidil cukup disegani dalam kancah bola sepak negaranya kerana reputasi pernah membawa Home United memenangi Piala AFC peringkat Zon ASEAN pada 2018 hingga memperoleh gelaran 'Pep Guardiola Singapura'.

Home-United

Aidil membawa Home United menjadi juara zon ASEAN pada Piala AFC 2018. — Agensi

"Aidil Sharin, Kauzaki Yoshinaga, Gavin Lee, Peter de Roo. Ambil salah satu daripada mereka dan kami (penyokong Singapura) akan gembira," kata akaun footyinsg.

Ketika di Kedah Darul Aman (KDA FC), Aidil mencipta sensasi apabila berjaya membawa pulang Piala FA pada 2019 yang merupakan musim pertamanya di Liga Malaysia.

Rata-rata penyokong Singapura rela jika Aidil meninggalkan Kuching dan terbang semula ke negaranya bagi menyelamatkan pasukan kebangsaan Singapura.

"Aidil akan jadi satu pilihan yang baik," ujar Raja Mohd Mirza.

"Saya pilih antara Aidil, Yoshinaga, Gavin Lee atau Tatsuma Yoshida untuk jadi pengendali Singapura seterusnya," komen Zack Zaidi pula.

67372578_2640501879315606_3246729335695998976_n

Aidil membimbing Sang Kenari ke kejuaraan Piala FA pada 2019. — Facebook/Kedah FA

Untuk rekod, nama-nama yang disebutkan oleh penyokong Singapura tersebut tidak asing dalam bola sepak mereka. Yoshinaga merupakan pengendali Albirex Nigata sementara Lee melatih Tampines Rovers dan De Roo di Balestier Khalsa.

Hanya Aidil dan Yoshida sahaja kini di luar Singapura. Yoshida kini bersama-sama pasukan divisyen dua Jepun iaitu Tokushima Vortis.

Seperti Aidil, nama De Roo juga tidak asing dalam bola sepak Malaysia apabila pernah menjadi pengarah teknikal FAM. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram