Walaupun sudah 10 tahun, FAM masih tetap pendirian mahu jadi juara Pestabola Merdeka


  • Podium
  • Isnin, 11 Sep 2023

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee muncul juara Pestabola Merdeka pada 2013. — Agensi

KEJOHANAN Pestabola Merdeka adalah satu pertandingan yang sangat dekat dengan jiwa rakyat Malaysia. Ia bukan sekadar kejohanan bola sepak, tetapi sebagai sebahagian sambutan hari kebangsaan Malaysia.

Jadi, tidak hairanlah seandainya setiap kali ia diadakan, Malaysia harus muncul sebagai juara. Mana tidaknya, kejohanan anjuran sendiri di depan ribuan penyokong setia mestilah jadi johan bukan?

Namun begitu, ada juga beberapa edisi yang menyaksikan Malaysia tidak muncul sebagai juara, tetapi itulah adat dalam bersukan kerana ada yang menang dan kalah.

Tetapi menjadi si tewas bukanlah sasaran Harimau Malaya dalam Pestabola Merdeka kali ini. Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon meletakkan sasaran menjadi juara walaupun bakal berdepan cabaran pasukan handalan seperti India, Tajikistan dan Palestin.

363416400_851808366390548_7739457164539234176_n

Kim Pan-gon mahu pasukannya muncul juara Pestabola Merdeka 2023. — Facebook/FAM

Sudah pasti, menjadi johan di depan ribuan ekor Harimau Malaya adalah satu impian buat Pan-gon dan para pemainnya sebelum menghadapi cabaran lebih getir iaitu pusingan akhir Piala Asia 2023 di Qatar kelak.

Sasaran itu adalah sama seperti yang pernah ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika 10 tahun lalu. Pada ketika itu, cabaran Malaysia diwakili oleh skuad Harimau Muda kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Pada masa itu, Setiausaha Agung FAM yang kini merupakan presiden, Datuk Hamidin Mohd Amin menggesa skuad Kim Swee untuk muncul sebagai juara dengan apa jua cara sekalipun.

"Tiada pilihan lain buat mereka. Mereka mesti menang Pestabola Merdeka dan mengekalkan pingat emas Sukan SEA yang diraih (pada edisi 2011). Mereka ada resepi untuk melakukannya," kata Hamidin pada waktu itu.

Akhirnya, Harimau Muda kendalian Kim Swee berjaya meraih gelaran juara Pestabola Merdeka pada edisi 2013 apabila mereka berjaya menumbangkan Myanmar di perlawanan akhir.

Jaringan oleh Rozaimi Abdul Rahman dan Junior Eldstal memberikan kegembiraan buat penyokong yang hadir ke Stadium Darul Makmur, Pahang dengan hujan lebat mengiringi detik kejayaan negara.

Mampukah skuad Pan-gon akan mengulangi kejayaan yang sama pada 2013 menentang pasukan handalan Asia? Tiada yang mustahil dalam kamus Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram