'Kita ke sana bukan beraksi ultra defensive', ramalan awal Matthew Davies jadi kenyataan


  • Podium
  • Isnin, 11 Sep 2023

Sebahagian aksi menarik skuad kebangsaan yang berpuas hati dengan keputusan seri berdepan China. — Facebook/FAM

SKUAD kebangsaan mencuri tumpuan ramai penyokong tanah air selepas berhasil mendapatkan dua keputusan positif dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Syria dan China.

Harimau Malaya berjaya memberikan senyuman kepada penyokong di tanah air apabila mencatat keputusan seri ketika menentang Syria 2-2 dan berjaya mengikat pasukan China dengan keputusan 1-1.

Keputusan seri itu juga menyaksikan skuad bimbingan Kim Pan-gon kekal dengan rekod tanpa kalah dalam enam aksi persahabatan antarabangsa sepanjang tahun ini.

Bagaimanapun, ramalan awal pertahanan Harimau Malaya, Matthew Davies mencuri tumpuan selepas menjadi kenyataan apabila sebelum ini dia berkata bahawa pasukan kebangsaan akan mempamerkan persembahan memukau dalam dua perlawanan antarabangsa Tier 1 itu.

WhatsApp Image 2023-09-11 at 16.01.06

Pemain pertahanan Harimau Malaya, Matthew Davies. — Facebook/FAM

Dalam satu temu bual bersama skuad kebangsaan sebelum kedua-dua perlawanan tersebut, pemain pertahanan Harimau Malaya itu menegaskan bahawa Malaysia akan turun dan tidak akan bermain secara bertahan.

Davies turut mengakui bahawa aksi berdepan China dan Syria merupakan perlawanan yang sukar, namun skuad kebangsaan tidak akan beraksi secara bertahan.

“Saya kira pertahanan adalah salah satu bahagian yang penting tapi semestinya kita bukan ke sana untuk beraksi secara ultra defensive, itu bukan cara kami sebagai pasukan bola sepak.

“Ya mungkin kami memberi tumpuan sedikit di posisi pertahanan yang kita lemah, tetapi itu tidak bermakna kita pergi ke sana dan bermain secara bertahan,” katanya.

Dalam dua perlawanan tersebut, Harimau Malaya membuktikan bahawa jentera serangan skuad itu menggalas tanggungjawab dengan melakukan serangan demi serangan untuk membolosi gawang pihak lawan.

Ketika menentang Syria, hasil dua jaringan pemain gantian iaitu Akhyar Rashid dan Darren Lok berjaya menyamakan kedudukan pada masa kedua selepas ketinggalan 0-2 ketika babak pertama.

Dalam perlawanan kedua berdepan China pula, Faisal Halim menjaringkan gol pembukaan buat Malaysia namun dinafikan kerana berada di kedudukan ofsaid oleh penjaga garisan.

Faisal bagaimanapun berhasil membalas dendam dengan menjaringkan gol pembukaan buat Malaysia pada minit ke-10.

Dua keputusan seri yang dicatat Harimau Malaya dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 itu sudah pasti bakal menjadi pembakar semangat buat Malaysia sebelum beraksi di kejohanan Pesta Bola Merdeka pada Oktober.

Selain meningkatkan kedudukan pasukan negara, aksi menentang lawan yang berada di ranking yang lebih tinggi juga merupakan persediaan terbaik buat kem kebangsaan sebelum mencuri slot beraksi di pentas Piala Asia 2024. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram