CEO Sang Kenari mahu langkah sejauh mungkin dalam Piala Cabaran, percaya mampu rebut slot ke Asia


  • Podium
  • Isnin, 11 Sep 2023

CEO KDA FC itu berkata sedemikian melihat kepada kualiti yang dimiliki pasukan Utara tanah air itu ketika ini. — Facebook/KDA FC

PENYINGKIRAN mengejutkan yang dialami Kedah Darul Aman (KDA) FC daripada Piala Malaysia di tangan Perak FC seperti tidak menjejaskan semangat mereka menghampiri penghujung musim.

Ia dibuktikan dengan kejayaan skuad Sang Kenari mengikat pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah 26 Ogos lalu.

Keputusan 3-3 yang dicatatkan itu menaikkan lagi semangat ribuan penyokong Hijau Kuning yang meletakkan hasrat untuk memenangi kesemua baki perlawanan musim ini.

Ini termasuk harapan mereka untuk menyaksikan kelab Utara tanah air itu menampilkan persembahan bersemangat dalam saingan Piala Cabaran MFL.

Pertandingan yang kembali dianjurkan selepas ditangguh sejak 2019 terbabit diadakan dengan kesemua lapan pasukan yang tersingkir daripada Piala Malaysia merupakan pesertanya.

370902522_335810332133484_1998582385355706547_n (1)

Skuad Sang Kenari berada di tangga kedua Liga Super selepas 21 perlawanan. Facebook/KDA FC

Sekiranya KDA FC mampu meraih kejayaan dalam Piala Cabaran MFL, ia boleh dianggap sebagai satu pencapaian bermakna buat mereka apabila terpaksa melupakan hasrat untuk menjulang Piala FA atau Piala Malaysia.

Di samping itu, skuad kendalian Nafuzi Zain juga seperti mempunyai kelebihan dalam kejohanan itu memandangkan mereka merupakan satu-satunya pasukan yang kini berada dalam kelompok lima pasukan teratas.

Hasrat berkenaan turut dipasang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Khamal Idris Ali yang mahu skuad Sang Kenari berusaha bersungguh-sungguh.

"Harapan kita adalah untuk pergi se-maksimum mungkin. Maksudnya, kita wajib pergi sehingga ke peringkat akhir," katanya kepada Majoriti.

Berdasarkan undian, KDA FC bakal bertemu Kuching City FC dalam peringkat suku akhir dengan perlawanan pertama bakal berlangsung di Stadium Negeri, Sarawak pada 19 September.

Copy of Copy of Add a little bit of body text - 1

Sebanyak lapan pasukan bakal berentap untuk merebut trofi Piala Cabaran MFL 2023.

Selain dua pasukan terbabit, enam peserta lain dalam Piala Cabaran MFL kali ini ialah Kelantan FC, Kelantan United FC, Penang FC, Kuala Lumpur (KL) Rovers, Harini FT dan PDRM FC.

Ketika ditanya mengenai harapan untuk merebut slot ke Piala AFC musim depan, Khamal KDA FC memiliki kebolehan dalam merealisasikan hasrat berkenaan.

"Kita nampak, pasukan kita berkemampuan untuk bersaing. Jadi, kita harap momentum itu dapat diteruskan untuk kita mengejar slot ke Asia musim depan.

"Jadi, kalau kita boleh kekalkan momentum itu untuk lima baki perlawanan, Alhamdulillah boleh saya katakan," jelas bekas pemain Kedah FA itu lagi.

Berdasarkan jadual Liga Super, skuad Sang Kenari mempunyai peluang untuk menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua yang ketika ini dimiliki Selangor FC.

Lima mata yang membezakan kedua-dua pasukan itu merupakan cabaran yang perlu dihadapi dengan masing-masing dilihat mempunyai kelebihan tersendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram