Tarik perhatian lebih 5 kelab EPL, Sanusi akhirnya pilih Newcastle United


  • Podium
  • Ahad, 10 Sep 2023

Sanusi berjaya menarik minat Newcastle untuk bawanya ke Stadium St. James Park. — Agensi

NEWCASTLE United sah menandatangani pemain berusia 16 tahun, Trevan Sanusi daripada skuad muda Birmingham City pada Sabtu.

Meskipun pemain sayap kiri itu berjaya menarik perhatian lebih daripada lima buah pasukan, tetapi bintang muda England itu telah memilih Newcastle sebagai destinasi baharu.

Antara kelab lain yang terlepas peluang mendapatkan khidmat Sanusi ialah Arsenal, Manchester United, Liverpool dan Chelsea.

Sanusi yang baru mencecah usia 16 tahun pada April lalu sudah diberi peluang berada di bangku simpanan pasukan utama Birmingham untuk perlawanan terakhir The Blues musim lalu.

Trevan

Trevan Sanusi sah berpindah ke Newcastle United. — Agensi

Pengendali Birmingham, John Eustace berkata, bakat Sanusi merupakan sesuatu yang menarik sekali gus berminat untuk mengekalkan khidmatnya namun pemain berusia 16 tahun itu lebih memilih menyertai kelab Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pada masa sama, Sanusi dalam Instagram turut menulis ucapan perpisahan buat penyokong-penyokong Birmingham selepas dia sah menyertai Newcastle.

"Ia adalah penghujung satu cerita.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan bahawa saya telah memutuskan untuk memilih laluan baharu dalam pembangunan karier dari Birmingham.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan, rakan sepasukan dan penyokong saya atas bantuan mereka sepanjang 11 tahun yang lalu.

"Saya sentiasa doakan yang terbaik buat Birmingham," ujarnya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram