Lepas bekas teman wanita, 2 lagi individu dakwa mangsa keganasan Antony


  • Podium
  • Jumaat, 08 Sep 2023

Gabriela memberi akses kepada foto, video, perbualan dan testimoni kepada media. — Agensi

TONGGAK sayap Manchester United, Antony Matheus dos Santos terus dihimpit dengan tuduhan demi tuduhan melibatkan dakwaan melakukan keganasan fizikal terhadap beberapa wanita.

Pemain berusia 23 tahun itu sebelum ini dilanda kontroversi melakukan keganasan fizikal terhadap bekas teman wanitanya, Gabriela Cavallin sehingga keganasan sehingga mendatangkan kecederaan pada tubuhnya.

Cavallin mendakwa bahawa Antony membaling gelas ke arahnya dan ketika sedang mempertahankan dirinya, dia mengalami luka di jari sehingga menampakkan tulangnya, selain membuat ugutan terhadapanya.

Rentetan dakwaan dari pempengaruh itu diketepikan dari skuad menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Bolivia dan Peru dengan kes itu disiasat pasukan polis di Sao Paulo serta Manchester.

Selain daripada tuduhan berkenan, pemain United bernilai £85 juta (RM497 juta) yang berhijrah ke Old Trafford pada 2022 itu dituduh melakukan perkara sama terhadap dua wanita lain.

Pelajar undang-undang, Rayssa de Freitas mendakwa memerlukan rawatan hospital berikutan insiden pada Mei 2022 apabila dia diserang oleh Antony dan Mallu Ohana iaitu bekas isteri pemain Brazil, Dudu selepas menghadiri kelab malam di Sao Paulo.

Ingrid Lana, seorang jurubank berusia 33 tahun juga berkata, dalam temu bual dengan saluran media, Brazil Record TV bahawa Antony berkelakuan agresif terhadapnya pada Oktober 2022.

“Dia cuba melakukan hubungan seks dengan saya dan saya tidak mahu. Dia menolak saya ke dinding dan saya terhantuk kepala saya," kata mangsa ketiga itu.

Antony bagaimanapun menafikan semua dakwaan yang dibuat terhadapnya.

Sementara itu, Manchester United mengakui tuduhan terbabit dengan menyatakan dalam satu kenyataan bahawa mereka menghormati siasatan polis ketika ini dan tidak akan membuat sebarang ulasan lanjut mengenai isu tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram