[VIDEO] Bengang gol dibatalkan VAR, penyokong fanatik Man United tikam fans Arsenal


  • Podium
  • Khamis, 07 Sep 2023

Teknologi VAR terpaksa digunakan untuk mengetahui sekiranya gol Garnacho perlu dibatalkan atau tidak. — Agensi

AKSI Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu keempat sebelum ini menyaksikan Arsenal meraih kemenangan bergaya 3-1 ke atas seteru hangat mereka, Manchester United di laman sendiri.

Setelah ketinggalan 0-1 setelah Marcus Rashford menjaringkan gol, skuad The Gunners pantas mengikat semula kedudukan menerusi Martin Odegaard.

Meskipun percubaan demi percubaan dibuat, tuan rumah terpaksa menunggu sehingga minit-minit akhir permainan untuk berada di hadapan apabila Declan Rice mendapatkan jaringan pertamanya buat Arsenal.

Kubu skuad The Red Devils sekali lagi dibolosi apabila penyerang antarabangsa Brazil, Gabriel Jesus bijak mengelirukan pihak lawan untuk mendapatkan gol ketiga mereka.

Kemenangan tersebut pastinya cukup bermakna buat kelab London tersebut memandangkan permulaan cemerlang mereka dalam saingan EPL berjaya diteruskan.

Namun, bagi penyokong Manchester United pula, mereka semestinya berasa berang dengan keputusan berkenaan, lebih-lebih lagi apabila memikirkan mengenai gol Alejandro Garnacho yang dibatalkan.

Garnacho didapati berada dalam keadaan ofsaid ketika menerima hantaran daripada Casemiro.

Situasi tersebut berlaku pada minit ke-88 permainan apabila pemain Argentina itu dilihat berada dalam kedudukan ofsaid selepas semakan dibuat menggunakan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR).

Hal itu sekali gus menyaksikan jaringan berkenaan ditarik semula yang mana jelas mencetuskan rasa kurang senang daripada pengurus Manchester United, Erik ten Hag serta penyokongnya.

Bagaimanapun, bagi seorang peminat setia The Red Devils di Uganda, keputusan tersebut mengakibatkannya gagal berfikir dengan waras apabila dia bertindak menikam seorang penyokong Arsenal.

Insiden berkenaan berlaku ketika mangsa, Jackson Aineruhanga bersama suspek serta orang ramai sedang menonton perlawanan berkenaan di dalam sebuah dewan.

Tetapi, ketika pengadil membatalkan jaringan Garnacho, tercetusnya perdebatan hangat antara kedua-dua pihak selain berlakunya ejekan antara satu sama lain.

latest02pix3-data

Ahli keluarga serta kenalan menghadiri majlis pengebumian Jackson. — Agensi

Berang dengan situasi itu, suspek yang merupakan penyokong Manchester United bertindak menikam Jackson menggunakan sebuah objek tajam.

Situasi berkenaan jelas mengejutkan orang ramai di dalam dewan terbabit apabila mereka gagal untuk menahan suspek yang berjaya meloloskan diri.

Menurut kenyataan daripada pihak polis Uganda, suspek ketika ini sedang diburu dengan kerjasama pihak forensik untuk mengetahui profil pelaku dengan lebih lanjut.

"Selepas perlawanan berkenaan, kedua-dua penyokong fanatik itu bertengkar akibat perselisihan faham. Keadaan menjadi lebih teruk sehingga memaksa orang ramai meleraikan mereka.

"Bagaimanapun, suspek bertindak melepaskan dirinya daripada penonton lain sebelum mengambil sebuah objek tajam sebelum menikam mangsa sehingga mati," tulisnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram