PERJUANGAN masih lagi belum selesai untuk skuad B-23 Malaysia dalam memburu tempat ke Piala Asia B-23 yang akan diadakan di Qatar pada 2024.
Skuad E. Elavarasan akan turun menentang Thailand pada Selasa dengan satu misi sahaja - menang dan juarai kumpulan.
Hal ini kerana, hanya kemenangan yang mampu mengesahkan tempat Malaysia ke pusingan akhir. Seri atau tewas hanya akan menipiskan peluang negara untuk mara.
Jika dilihat pada rekod, Malaysia mencatatkan enam jaringan serta dua nirbolos (clean sheet) selepas menewaskan Bangladesh dan Filipina.
Nooa Laine dijangka bakal diturunkan menentang Thailand. — Facebook/FAM
Namun begitu, itu bukanlah satu rekod yang boleh dibanggakan kerana jika tidak menewaskan Thailand, semua itu tidak akan membawa sebarang makna.
Itulah yang diungkapkan oleh pemain pertahanan, V. Ruventhiran menjelang aksi penting bertemu Thailand. Menurutnya, konsisten itu adalah bagus tetapi belum mencukupi.
"Ia bagus untuk pasukan apabila (beraksi dengan) konsisten, kami juga mempunyai dua nirbolos dalam dua perlawanan. Tetapi pada saya ia masih belum cukup, (terutamanya) ketika bertemu Bangladesh dan Filipina. Kami perlu usaha lagi untuk menang ke atas Thailand.
"Dua perlawanan yang lalu tidak ubah seperti perlawanan persiapan sebelum bertemu Thailand. Pada kami, ini adalah satu perlawanan yang cukup besar sebagai rakyat Malaysia, kami mahu menang perlawanan ini," kata Ruventhiran.
Skuad B-23 Malaysia berlatih sebelum turun menentang Thailand pada Selasa. — Facebook/FAM
Ruventhiran mengakui Thailand adalah sebuah pasukan yang hebat namun dia tidak mahu terlalu menghormati mereka. Pada hemat pemain Selangor FC ini, skuad Gajah Perang adalah kuat tetapi masih boleh ditewaskan.
"Saya akui yang Thailand adalah pasukan hebat, tetapi saya ada pengalaman tewaskan mereka dalam Piala AFF.
"Saya sedar penyokong begitu mahukan kemenangan ini jadi kami akan berikan segalanya dalam perlawanan ini. Jadi, kami mohon agar sokongan diberikan tidak kira di mana anda berada.
"Jangan risau, kami tahu perlawanan ini akan beri tekanan besar kepada pemain tetapi teruskan menyokong kami. Jika anda berada di Thailand dan berdekatan dengan stadium, sila datang ke stadium dan kami akan berikan terbaik untuk negara." ujar Ruventhiran.
Perlawanan getir bertemu Thailand ini akan diadakan pada Selasa, waktu sepak mula adalah 9.30 malam masa Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram