Bekas penjaring ACL antara 3 hero diyakini mampu selamatkan kelab dari 'relegation'


  • Podium
  • Isnin, 11 Sep 2023

OJ Porteria (kiri) ketika menyarung jersi kelab Filipina, United City FC. — Agensi

PENGELOLA domestik, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum ini menjelaskan bahawa dua kelab terbawah Liga Super musim ini akan bakal mengucapkan selamat tinggal kepada saingan tertinggi tanah air itu dan seterusnya tersingkir ke Liga M3.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan bahawa dua pasukan dari Liga M3 berpeluang beraksi di Liga Super musim 2024 namun beliau menegaskan perkara itu tertakluk kepada kelulusan pelesenan kelab pasukan terbabit.

"Satu slot penyingkiran dan satu 'play-off'. Bagi pasukan Liga Super, pasukan tercorot akan tersingkir secara automatik sementara pasukan kedua tercorot akan mengharungi 'play-off' dengan naib juara Liga M3.

"Tetapi semua ini tetap bergantung jika juara dan naib juara Liga M3 mendapat lesen kelab dari MFL," katanya memetik laporan media tempatan.

Melihat kepada keadaan semasa Liga Super, tiga pasukan yang berada pada kelompok tercorot liga adalah bekas pasukan Liga Perdana iaitu Kelantan United (11 mata), Kelantan FC (lapan mata) dan di tangga ke-14 ialah Kuching City FC yang mengumpul sebanyak tujuh mata dengan hanya satu kemenangan musim ini.

Namun begitu, awan tidak selalunya mendung buat bekas tiga kelab itu kerana masih ada beberapa pemain yang boleh dianggap sebagai ayam tambatan dan sekali gus dipercayai mampu menjadi senjata untuk menyelamatkan kelab masing-masing.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut tiga pemain yang dianggap hero kelab buat pasukan terbawah dan diyakini akan menyelamatkan tiga kelab itu daripada tersungkur ke kancah Liga M3:

1) OJ Porteria (Kelantan United)

KUFC OJ

OJ Porteria menjadi penjaring terbanyak Liga Super dengan tujuh jaringan gol. — Facebook/KUFC

OJ Porteria atau nama sebenarnya Jose Elmer Porteria dibawa masuk oleh Kelantan United dengan menandatanganinya selama semusim bagi memperkuatkan pasukan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2023.

Pemain yang mengisi kuota pemain Asean itu sememangnya menggunakan pengalamannya bersama Liga Filipina, Liga Thailand, Piala AFC dan Liga Juara-Juara Asia (ACL) tersebut dalam saingan Liga Super apabila menjadi antara penyerang sayap yang digeruni pihak lawan.

Untuk rekod, Porteria yang memulakan karier bersama kelab di Amerika Syarikat, DC United itu pernah mencetak jaringan dalam pusingan kelayakan Piala ACL ketika dia menyarung jersi kelab Filipina, United City FC pada musim 2020.

Ketajamannya di hadapan gawang juga dapat diterjemahkan dengan cukup baik dengan statistik menunjukkan pemain berusia 29 tahun itu sudah mencetak tujuh jaringan gol termasuk satu pada kempen Piala Malaysia.

Baru-baru ini, bekas pemain Kaya FC itu berhasil mencetak jaringan keenam peribadinya dalam perlawanan Liga Super yang menyaksikan Kijang Hijau menang 2-1 ke atas Kuching City dan sekali gus memberi tiga mata kedua buat KUFC.

2) Abu Kamara (Kuching City FC)

ABU KAMARA

Abu Kamara masih menjadi penyerang digeruni Kuching City. — Facebook/KuchingCity

Penyerang Kuching City FC, Abu Kamara mencuri nama selepas memenangi Anugerah Kasut Emas Liga Perdana 2022 selepas berjaya mencetak 11 jaringan dan membantu The Cats dinaikkan pangkat ke Liga Super.

Musim ini, penyerang dari Liberia itu meneruskan momentumnya dengan meledak 10 jaringan gol dan satu hantaran bantuan untuk membantu Kuching City dalam saingan Liga Super.

Dengan rekod cemerlangnya dan kerajinannya untuk mencetak jaringan itu mendapat perhatian dari kelab lain sehingga pada jendela perpindahan kedua Julai lalu, ada khabar angin mengaitkannya dengan beberapa pasukan lawan.

Oleh itu ramai mengharapkan agar bekas pemain Makedonija itu akan terus menjaringkan gol untuk membantu pasukan di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak itu kekal beraksi untuk saingan Liga Super.

3) Natanael Siringoringo (Kelantan FC)

SIRINGGO

Siringoringo menyertai semula TRW pada jendela perpindahan Julai lalu. — Facebook/JDT

Penyerang Kelantan FC, Natanael Siringoringo yang sebelum ini beraksi di negara kelahirannya dengan menyertai Dewa United membawa 1001 harapan buat The Red Warriors (TRW) apabila dia akhirnya kembali ke pasukan Pantai Timur itu pada jendela perpindahan kedua lalu.

Kehadiran Siringoringo ke dalam skuad TRW kali ini dianggap tepat ketika pasukan itu kehilangan beberapa pemain utama seperti Miguel Cifuentes dan Nurshamil Abd Ghani berikutan masalah gaji yang melanda di kem latihan Kelantan.

Pemain berusia 23 tahun itu tidak menunggu lama membalas penantian penyokong apabila mencetak satu jaringan gol dan satu hantaran bantuan pada penampilan pertamanya selepas kembali ke Kelantan pada Julai lalu.

Dari segi statistik perlawanan setakat ini, pemain import Indonesia itu sudah mencetak tiga jaringan gol dan dua hantaran bantuan dalam tujuh penampilan Liga Super dia diturunkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram