Kejutan atau tepati ramalan, Harimau Malaya dijangka seri berdepan China


  • Podium
  • Sabtu, 09 Sep 2023

Sebahagian aksi sesi latihan Harimau Malaya sebagai persediaan berdepan China. — Facebook/FAM

PERLAWANAN antarabangsa skuad kebangsaan pada Rabu menyaksikan pasukan kendalian Kim Pan-gon meraih keputusan seri selepas mengikat pasukan 100 terbaik dunia, Syria.

Walaupun ketinggalan pada babak pertama, skuad Harimau Malaya bangkit untuk mengikat kedudukan menerusi dua pemain gantian iaitu Akhyar Rashid dan Darren Lok.

Bagaimanapun, skuad Harimau Malaya bakal berdepan ujian kedua menentang China dalam satu lagi aksi persahabatan pada Sabtu.

Kehangatan perlawanan tersebut pastinya dirasai dengan cabaran yang akan diberikan oleh pasukan tuan rumah yang juga tidak kurang hebatnya.

Senarai nama pemain-pemain kesebelasan utama yang akan menggalas misi negara itu belum diumumkan dan ini membuatkan penyokong bola tempatan menggunakan kesempatan tersebut untuk meramal pemain yang bakal diturunkan oleh Pan-gon.

WhatsApp Image 2023-09-08 at 23.57.50

Sekitar sesi latihan Harimau Malaysia sebelum berdepan China. — Facebook/FAM

Berikut merupakan ramalan daripada wartawan sukan Majoriti iaitu Zikry Marzuki, Rahmi Jumriati dan Frezella Amil.

Zikry Marzuki — Pan-gon tampil muka baharu

Pengendali Harimau Malaya bakal melakukan perubahan dengan memasukkan beberapa muka baharu dalam kesebelasan utama skuad tersebut.

Saya berpandangan Pan-gon akan melakukan perubahan dengan memasukkan pemain yang berbeza daripada menentang Syria iaitu Akhyar Rashid mungkin bakal menggantikan Arif Aiman Hanapi dan Safawi Rasid akan menggantikan Faisal Halim.

Bukan itu sahaja, Darren Lok juga akan bermain di posisi penyerang untuk skuad kebangsaan dan kemungkinan besar Dominic Tan akan diberi kepercayaan untuk menggalas tugas sebagai kesebelasan utama berdepan China.

Tambahnya lagi, jika lawan Syria, skuad kebangsaan boleh seri kenapa tidak dengan China.

Saya turut meramalkan bahawa skuad kebangsaan akan seri berdepan China dengan keputusan 2-2 yang dijaringkan oleh Faisal Halim dan Paulo Josue.

Rahmi Jumriati — Momentum Akhyar bantu HM

Saya menjangkakan bahawa pasukan Malaysia berkemungkinan mendapat keputusan seri menentang China selepas baru-baru ini berjaya mengikat Syria yang berada di ranking lebih tinggi iaitu ke-94 dunia.

2274893

Sekitar sesi latihan barisan pemain skuad kebangsaan untuk menghadapi China pada Sabtu. — Facebook/FAM

Menurutnya, dengan kecederaan yang dialami Shahrul Saad, pastinya akan menganggu perancangan Pan-gon untuk menurunkan kesebelasan utama terbaik menentang China terutamanya di bahagian pertahanan.

Dua pemain dijangka akan membolosi gawang China ialah Akhyar Rashid berikutan dia masih mempunyai momentum dari perlawanan lalu manakala seorang lagi mungkin mencetak gol ialah Faisal Halim.

Frezella Amil — Pengalaman Pan-gon senjata HM

Saya tidak melihat skuad Harimau Malaya berhadapan masalah untuk mencatatkan kemenangan selesa dalam perlawanan tersebut dengan melihat kepada prestasi semasa pasukan kebangsaan.

Pastinya Pan-gon sudah lebih bersedia dengan meneliti dan mengkaji corak permainan yang bakal ditampilkan oleh pasukan tuan rumah.

Hal ini kerana, pengalaman ketika membimbing pasukan Hong Kong menentang China sebelum ini, memberi pendedahan buatnya mengatur strategi untuk menewaskan skuad negara ‘Tembok Besar’.

Dijangkakan dua pemain akan membolosi pintu gawang tuan rumah iaitu Akhyar Rashid dan Stuart Wilkin berikutan kedua-dua pemain masih mempunyai momentum dari perlawanan lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram