Disamakan dengan bintang Sepanyol, fans harap kapten Pahang kekal posisi DMF


  • Podium
  • Jumaat, 08 Sep 2023

Sebahagian aksi pemain skuad kebangsaan meraikan jaringan ketika berdepan Syria. — Facebook/FAM

SKUAD kebangsaan mencatatkan satu keputusan positif dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 apabila mengikat Syria dengan skor 2-2 pada Rabu.

Aksi yang berlangsung di Chengdu, China menyaksikan Harimau Malaya terlebih dulu ketinggalan pada minit ke-12 selepas pasukan lawan membuka jaringan menerusi percubaan Mardik Mardikian.

Sebelum babak pertama dinoktahkan, tekanan semakin dirasakan skuad kebangsaan apabila Yassin Samia menewaskan penjaga gol negara, Syihan Hazmi yang membawa kepada keputusan 0-2.

Selepas ketinggalan pada babak pertama, Harimau Malaya bangkit untuk mengikat kedudukan menerusi dua pemain gantian, iaitu Akhyar Rashid dan Darren Lok.

Keputusan itu menyaksikan Harimau Malaya kekal di tangga ke-136, namun membolehkan negara terus menambah baik tempat sebelum aksi Piala Asia berlangsung awal tahun depan.

WhatsApp Image 2023-09-08 at 19.06.49

Barisan pemain kebangsaan ketika meraikan kemenangan berdepan Syria. — Facebook/FAM

Bagaimanapun, nama kapten Sri Pahang FC, Sergio Fabian Ezequiel Aguero atau lebih dikenali sebagai Sergio Aguero menjadi bualan hangat penyokong tanah air selepas beraksi dengan baik di posisi tengah bertahan.

Walaupun bermain di bahagian tengah menyerang namun Aguero dilihat menyerlah di posisi bintang Sepanyol, Sergio Busquets dengan peranannya mencuri tumpuan penyokong tanah air.

Persembahannya ketika berdepan Syria disifatkan boleh membantu pasukan kebangsaan memberikan ancaman kepada kubu lawan.

Dalam pada itu, rata-rata penyokong memuji kebolehan yang ditampilkan oleh kapten Tok Gajah itu dalam skuad kebangsaan.

"Aguero beraksi baik di posisi yang dimainkan oleh Sergio Busquets," kata @fahrulnizam.

"Aguero berada di posisi defensive midfielders (DMF) beberapa kali semasa lawan Syria. Dia lebih menyerlah di posisi itu kerana rajin minta bola dan ada kebolehan hantaran baik," kata salah seorang penyokong di Instagram.

"Aguero kalau main full second half pasti Malaysia boleh dapat keputusan yang positif," kata @kevinloh.

"Kualiti passing dia lebih baik dari finishing, jadi sesuai dia main di posisi DMF," kata @azlann_.

Selepas ini, skuad kendalian Pan-gon bakal berdepan China dalam satu lagi aksi persahabatan yang bakal berlangsung di Chengdu, China pada Sabtu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram