Tak sempat rehat, jadual padat jadi panduan Azizulhasni hadapi Sukan Asia Hangzhou


  • Podium
  • Jumaat, 08 Sep 2023

KIM FATT (kiri) memberi kata-kata semangat kepada pasukan atlet basikal trek negara. — Bernama

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang sedia berdepan dengan jadual padat Sukan Asia Hangzhou 2022 di China yang akan berlangsung dari 23 September sehingga 8 Oktober depan.

Azizulhasni berkata, beliau belajar daripada pengalaman semasa Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2023 di Glasgow, Scotland baru-baru ini kerana ia agak sama dengan situasi yang bakal dihadapi pada acara di Velodrom Pusat Sukan Chun’an Jieshou nanti.

"Sukan Asia kita tengok jadual agak rapat antara perlumbaan ada interval 15 minit, mereka susun semuanya dalam masa yang singkat. Saya tak pasti tapi semua (pelumba) hadapi situasi sama.

"Semasa Kejohanan Dunia hari itu tak jangka rapat (jadual), ketika itu saya lumba dan banyak perlumbaan di pusingan awal kemudiannya apabila perlumbaan berikutnya tak sempat rehat. Saya belajar banyak di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi lawatan Ketua Kontinjen Sukan Asia Hongzhou 2022 Datuk Chong Kim Fatt di Velodrom Nasional pada Jumaat.

Pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2023, Azizulhasni gagal menyumbang sebarang pingat apabila terkandas di peringkat separuh akhir acara kegemarannya iaitu keirin.

Malang juga menimpa Azizulhasni dalam acara pecut apabila penyertaannya dibatalkan pada pusingan kedua gara-gara tindakannya yang mahu memotong pesaing dari Australia pelumba Australia, Thomas Cornish.

Sehubungan itu, Azizulhasni yang merupakan pemenang perak keirin lelaki Sukan Olimpik 2020 bukan mudah berdepan situasi berkenaan, namun akan berusaha sehabis baik dengan menggunakan taktikal yang mampu membantunya menyinar pada penampilan terakhir di temasya sukan tersebut.

"Saya tak tahu kenapa rapat. Saya beranggapan mungkin China bagi setiap perlumbaan ada pelumba dan mereka nak pastikan semua pelumba bersedia walhal kita banyak masuk acara (pelumba sama). Jika ikut Sukan Olimpik pula (jadual) berbeza, satu hari ada dua perlumbaan dan ada masa.

"Kita kena pandai selaras bagaimana untuk memecut dan menyimpan tenaga untuk kemudiannya. Ia lebih kepada taktikal pada pusingan awal dan apabila masuk separuh akhir atau akhir saya rasa itu lain,” katanya.

Sementara itu, juara bertahan acara pecut Sukan Asia itu secara peribadi berharap skuad berbasikal negara mampu membawa pulang dua emas dari Hangzhou berbanding satu emas disasarkan jurulatihnya, John Beasley.

Pelumba dari Dungun yang turut diberi julukan ‘The Pocket Rocketman’ itu berkata, doktor mengesahkan dirinya cergas untuk bersaing pada Sukan Asia Hangzhou 2022 selepas menjalani pemeriksaan kesihatan minggu lepas. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram