Belum cecah umur 35 tahun, 3 otai 'ex' Kelantan diminta kembali ke pangkuan TRW musim depan


  • Podium
  • Ahad, 03 Sep 2023

Pemain-pemain Kelantan meraikan jaringan gol bersama-sama pada 2015.

KEKALAHAN yang amat memalukan Kelantan FC dalam saingan Liga Super baru-baru ini nyata begitu sukar untuk diterima terutamanya bagi penyokong fanatik kelab.

Tambah malang lagi, kekalahan 2-11 yang diterima The Red Warriors (TRW) itu terjadi di laman sendiri dan luka itu semakin berdarah apabila mereka dibolosi jaringan besar dalam tiga perlawanan terakhir berturut-turut.

Masalah luar padang juga turut tidak boleh dilupakan oleh penyokong selepas kegagalan pihak pengurusan mendaftar pemain import baharu semasa jendela perpindahan kedua musim ini.

Ia sekali gus menambah luka penyokong Kelantan walaupun corak permainan TRW semakin baik dibawah kendalian jurulatih baharu, Angel Alferdo Vera.

Namun sejak kebelakangan ini, penyokong diubati dengan beberapa siri perlawanan persahabatan yang melibatkan bekas pemain-pemain TRW sekali gus mengembalikan nostalgia orang ramai kehebatan Kelatan suatu masa dulu.

Malah ada beberapa pemain juga masih giat aktif beraksi dalam Liga Malaysia mahupun Liga Amatur.

Majoriti senaraikan tiga pemain permintaan penyokong untuk kembali menyarung jersi Kelantan pada musim depan:

Wan-Zaharulnizam-Wan-Zakaria

Selepas keluar daripada Harimau Muda, Wan Zaharulnizam (kanan) mewakili Kelantan FC.

1. Wan Zaharulnizam Zakaria

Wan Zaharulnizam Zakaria atau lebih mesra disapa sebagai Kecik merupakan tunjang utama untuk Melaka United (MU) musim lalu sebelum menjadi ejen bebas pada tahun ini.

Bermain di posisi tengah, pemain kelahiran Tumpat, Kelantan ini berkemampuan untuk menggelecek pihak lawan dengan sangat baik.

Malah, pemain berusia 32 tahun itu juga antara arkitek utama Melaka United untuk melakukan serangan ke kawasan kubu pertahanan pihak lawan.

Pernah mewakili Kelantan pada usia muda, tidak perlu mempersoalkan kenapa penyokong mahukan bekas pemain Harimau Muda itu kembali mewakili negeri kelahirannya.

Nik Shahrul

Nik Sharul antara bek kanan yang paling baik pernah Kelantan ada.

2. Nik Shahrul Azim

Nik Sharul Azim merupakan pemain yang bermain di posisi bek kanan untuk skuad Kuala Lumpur City FC (KL City) pada musim lalu.

Pemain kelahiran Rantau Panjang, Kelantan ini juga pernah menjadi sebahagian daripada skuad Kelantan yang memenangi kejuaraan treble pada 2012.

Bersama The City Boys, pemain berusia 32 tahun yang mesra disapa Pok Nik ini sering menjadi pilihan utama bekas pengendali KL City, Bojan Hodak sebagai tonggak pertahanan pasukannya.

Pengalaman bersama pasukan bergelar juara Zon Asia Tenggara (Asean) Piala AFC pastinya memberi kelebihan kepada Kelantan jika Nik Shahrul bersama pasukan itu musim depan.

Khairul Izuan

Izuan (kiri) mempunyai pengalaman bermain dalam Piala AFC bersama Kelantan pada musim 2012/13.

3. Khairul Izuan Rosli

Mungkin peminat Liga M tidak berapa mengenali bekas penyerang Kelantan FC kerana prestasinya tidak gah seperti pemain bintang lain.

Namun pengalamannya bersama Kelantan FC amat dihargai oleh penyokong TRW untuk membantu pasukan itu musim depan.

Baru berusia 32 tahun, Khairul musim ini mewakili BRM Kuala Kangsar FC dalam Liga M3 sebelum pasukan itu dibubarkan atas masalah kewangan.

Khairul pernah beraksi dalam Piala AFC bersama Kelantan dan bermain untuk beberapa pasukan Liga M seperti Negeri Sembilan FC, Terengganu FC, UiTM FC dan Tok Janggut Warriors FC.

Bukan hanya penyerang, Khairul juga boleh bermain di posisi tengah menyerang serta beraksi sebagai pemain sayap kiri dan kanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram