MFL-FAM disaran wujud liga daerah, bandar tanpa pasukan negeri


  • Podium
  • Jumaat, 08 Sep 2023

Kesebelasan utama FC Jerantut ketika beraksi menentang Spirito FC pada Rabu.

FC JERANTUT (FCJ) ialah pasukan amatur yang sedang membuktikan diri mereka bakal menjadi salah sebuah kelab komuniti yang mampu bersaing dalam sistem liga bola sepak Malaysia.

Pasukan yang berpengkalan di Jerantut, Pahang itu mempunyai perancangan tersendiri untuk meletakkan mereka dalam kalangan kelab-kelab gergasi dalam Liga Malaysia.

Namun adakah mereka mampu bersaing dalam ekosistem liga bola sepak sedia ada yang mempunyai pasukan berstatus negeri seperti Selangor FC, Johor Darul Takzim (JDT), Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Sri Pahang FC.

Adakah wajar Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) atau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mewujudkan liga berasaskan daerah dan bandar untuk memberikan platform seperti pasukan FC Jerantut, Kerteh FC, Real Chukai dan Kinabalu Jaguar FC untuk bersaing sesama sendiri?

FC Jerantut

FC Jerantut kini beraksi dalam dalam pusingan kelayakan Selangor Champions League (SCL).

Pengarah Teknikal FC Jerantut, Safiuddin Shaifuddin, 35, bersetuju jika MFL atau FAM mewujudkan liga berasaskan daerah dan bandar untuk menonjolkan bakat-bakat yang terpendam dalam kalangan pemain-pemain amatur.

"Tentang itu bagi saya sangat wajar, pasukan bola sepak di Malaysia tidak semuanya mempunyai ejen pengesan bakat atau 'scouting team'.

"Jadi liga yang berasaskan daerah sangat perlu bagi menonjolkan bakat-bakat yang terpendam dalam kalangan pemain-pemain amatur.

"Sebagai contoh di FC Jerantut dan dalam daerah Jerantut sendiri terdapat banyak bakat yang boleh digilap dan diketengahkan untuk menjadi pemain yang berprofil tinggi.

"Jika adanya platform liga berasaskan daerah boleh menjadi 'players supplier' atau kilang pemain untuk pasukan negeri dan juga skuad kebangsaan," katanya kepada Majoriti.

FC Jerantut C

Pemain-pemain FC Jerantut meraikan jaringan ketika menewaskan Spirito FC baru-baru ini.

Tambahnya lagi, pemilihan pemain-pemain berkualiti dalam boleh dilaksanakan jika tiada karenah birokrasi dan penganjuran seperti Pahang Amateur League (PAL) memainkan peranan penting pembangunan pasukan bertaraf komuniti atau daerah.

"Namun inisiatif ini hanya boleh dilaksanakan jika tiada karenah birokrasi dan pilih kasih di peringkat pemilihan pemain.

"Inisiatif penganjuran liga seperti Pahang Amateur League juga memainkan peranan yang penting bagi menggerakan perancangan pembangunan pasukan yang bertaraf komuniti dan daerah.

"PAL membuktikan bahawa penganjuran kali pertama ini merancakkan suasana dalam ekosistem bola sepak di sekitar Pahang Barat dan Timur.

"Banyak pasukan berasaskan daerah dan komuniti telah mengambil bahagian dalam platform seperti ini.

"PAL juga adalah salah satu medium untuk mengetengahkan pemain yang berbakat yang dapat membantu pasukan di peringkat yang lebih tinggi untuk mengesan bakat," ujarnya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram