'Sekejap, tapi impaknya terasa', khidmat Omid kembali dirindui penyokong lamanya


  • Podium
  • Ahad, 10 Sep 2023

Omid (kiri) mempunyai reputasi yang kurang membanggakan selama dua musim beraksi dalam Liga Super. — Facebook/Terengganu FC

KETIKA ini, Terengganu FC memiliki lambakan pemain tengah berkualiti yang mampu memikul tanggungjawab masing-masing dari segi serangan mahupun pertahanan.

Kehadiran Nurillo Tukhtasinov ketika jendela perpindahan lalu menyaksikan skuad Sang Penyu memiliki pilihan pemain tengah menyerang dengan Engku Nur Shakir dan Liridon Krasniqi juga boleh beraksi di posisi berkenaan.

Dari segi pertahanan pula, pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner pula cenderung untuk menggunakan khidmat Habib Haroon yang beraksi cemerlang sepanjang musim.

Lambakan pilihan itu menyaksikan pemain tengah kebangsaan Filipina, Omid Nazari semakin bergelut untuk mendapatkan minit permainan dalam Liga Super.

Dia yang tiba dari Negeri Sembilan FC awal musim lalu memiliki reputasi bercampur-baur dengan pemain itu dikatakan memiliki masalah konsistensi setiap kali diturunkan.

Hal berkenaan menyebabkan penyokong Terengganu FC mempersoalkan keputusan pihak pengurusan dengan mereka berasakan kuota import itu perlu diberikan kepada mana-mana pemain lebih berkualiti.

374573240_287594130648695_8198488102297905884_n

Kecemerlangan Habib menyekat peluang Omid untuk beraksi dengan lebih kerap. Facebook/Terengganu FC

Bagaimanapun, dengan Omid sudah disahkan sebagai rekrut mereka, terdapat harapan bahawa dia dapat memberikan satu nilai tambahan buat bahagian tengah Sang Penyu.

Namun, sehingga kini, pemain berusia 32 tahun terbabit hanya berjaya mencatatkan tujuh penampilan Liga Super dengan empat daripadanya merupakan penampilan dalam kesebelasan utama.

Pulangan itu menyaksikan sebilangan penyokong kelab Pantai Timur berkenaan mengharapkan agar kontraknya yang tamat pada penghujung musim nanti tidak disambung.

Tetapi, dengan reputasinya yang kurang meyakinkan mula diketahui pasukan-pasukan Liga Super, ke manakah Omid boleh membawa diri untuk menyambung kariernya?

Berdasarkan pengamatan di media sosial, sebuah kelab Liga 1 Indonesia, Persib Bandung dilihat cukup berminat dengan khidmat pemain terbabit.

1463134

Omid meluangkan dua musim bersama kelab Indonesia, Persib Bandung. Agensi

Cadangan itu diberikan penyokong pasukan berkenaan yang jelas merindui kelibat jeneral dengan ketinggian 1.84 meter tersebut yang pernah bersama-sama kelab itu sebelum ini.

"Sebenarnya, Omid ni memang cukup bagus, tetapi sayangnya, dia tidak berkekalan dengan cukup lama bersama Persib Bandung," kata Tia Ivanka.

"Sememangnya tempoh permainan Omid bersama Persib adalah tidak terlalu lama, tetapi impaknya dapat dirasakan," kata Duriat Persib.

"Kalau ada peluang, bolehlah dapatkan semula Omid ni. Pada saya, dia memang sesuai bersama Persib Bandung," ujar Slow But Sure.

Sebelum ini, pemain berdarah kacukan Sweden-Filipina itu pernah bersama pasukan berkenaan selama dua musim, iaitu dari 2019 sehingga 2021.

Bekas pemain Negeri Sembilan FC berkenaan kemudiannya memilih untuk kembali ke Filipina sebelum menyertai United City FC dan beraksi di situ untuk semusim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram