Tunjuk belang atas padang, gaya sepakan Nafuzi Zain imbau detik Piala Dunia Remaja


  • Podium
  • Jumaat, 08 Sep 2023

Nafuzi musim ini meninggalkan Terengganu FC untuk mengendalikan Sang Kenari.

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) kini dalam landasan terbaik untuk menempah slot ke Asia tahun depan selepas hanya dibezakan lima mata dengan kurang satu perlawanan.

Sebelum ini, skuad kendalian Nafuzi Zain berjaya melakukan 'come back' untuk mengikat juara bertahan, Johor Darul Takzim (JDT) di halaman sendiri pada Sabtu lalu.

Dalam lima perlawanan terakhir Liga Super, Nafuzi berjaya membantu Kedah mencatatkan empat kemenangan dan satu seri sekali gus merapatkan kedudukan dengan pasukan di tempat kedua iaitu Selangor FC.

Perubahan corak permainan Kedah ketika ini jelas berbeza berbanding musim lalu meskipun jurulatih berusia 45 tahun itu baru memulakan tugas sebagai pengendali Sang Kenari pada Januari 2023.

Nafuzi Zain

Nafuzi bersama Kedah dalam latihan Sang Kenari melakukan teknik sepakan.

Seperti rutin harian biasa, pemain-pemain Kedah menjalani latihan meskipun Liga Super berehat selama dua minggu bagi memberi laluan kepada skuad kebangsaan untuk beraksi dalam dua perlawanan persahabatan menentang Syria dan China.

Namun apa yang menarik perhatian penyokong Hijau Kuning dalam sesi latihan itu ialah gambar teknik sepakan deras oleh Nafuzi sekali gus mengimbau kenangan peminat tentang dirinya sebagai antara pemain skuad Piala Dunia Remaja 1997.

Ketika itu, Malaysia menjadi tuan rumah bagi kejohanan Piala Dunia Remaja 1997 yang mana enam buah stadium menjadi venue utama pertandingan tersebut.

Antara stadium yang terlibat ialah Stadium Shah Alam, Stadium Negeri Sarawak, Stadium Darul Aman, Stadium Darul Makmur, Stadium Tuanku Syed Putra dan Stadium Larkin.

Skuad Piala Dunia 1997

Skuad Malaysia untuk Piala Dunia Remaja 1997.

Nafuzi yang diberi kepercayaan oleh Hatem Souissi untuk turun beraksi dalam kesebelasan utama pada perlawanan pembukaan menentang Maghribi di Stadium Shah Alam itu hanya sempat beraksi selama 46 minit sebelum digantikan dengan Chow Chee Weng.

Keputusan penuh Malaysia tewas pada perlawanan pembukaan dengan keputusan 1-3 di halaman sendiri.

Pada perlawanan kedua menentang Uruguay, Nafuzi yang beraksi di posisi tengah terlebih dahulu memulakan perlawanan daripada bangku simpanan.

Selepas pasukan Malaysia dibolosi tiga gol, Souissi melakukan pertukaran pada 10 minit terakhir perlawanan dengan memasukkan Nafuzi ke dalam padang, namun gagal memberikan sebarang impak.

Nafuzi hanya beraksi sebanyak dua perlawanan dan memanaskan bangku simpanan ketika skuad muda negara ditewaskan oleh Belgium pada aksi terakhir Kumpulan A.

Sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak, Nafuzi mewakili beberapa pasukan Liga Malaysia antaranya Terengganu, Kedah dan Kelantan sebelum bersara pada 2011 untuk menjadi jurulatih. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram