Masih ada harapan ligan Selangor, 3 game jadi penentu nasib Kedah


  • Podium
  • Sabtu, 09 Sep 2023

Berbaki lima perlawanan, skuad Sang Kenari masih berpeluang untuk merebut tempat kedua Liga Super 2023. — KDA FC

SELEPAS mengharungi 21 perlawanan Liga Super pada musim ini, Kedah Darul Aman (KDA) FC kini berada di tangga ketiga hasil 44 mata yang diperolehi daripada 14 kemenangan, dua seri dan lima kekalahan direkodkan.

Kedudukan itu menjarakkan skuad Sang Kenari hanya lima mata daripada pasukan di kedudukan kedua liga, Selangor yang memungut 49 mata dan satu lebihan perlawanan.

Manakala jarak antara KDA FC dan pasukan di tangga keempat iaitu Sabah FC hanya dibezakan dengan dua mata.

Dengan Johor Darul Takzim (JDT) dijangka ditabalkan sebagai juara Liga Super buat kali kesepuluh berturut-turut pada perlawanan seterusnya menentang PDRM FC pada 27 September depan, slot tangga kedua pastinya menjadi sasaran untuk anak buah Nafuzi Zain.

Turut melahirkan harapan sama adalah penyokong skuad Sang Kenari yang tentunya mahu menyaksikan pasukan mereka sekurang-kurangnya mencipta pencapaian menempatkan diri layak ke pentas Piala AFC pada musim depan.

373634707_339404601774057_4631051237170944924_n

Ketua Jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain. — KDA FC

Sasaran itu dilihat agak penting untuk mengubati kekecewaan KDA FC selepas gagal melangkah lebih jauh dalam cabaran Piala FA dan Piala Malaysia.

Dalam pada itu, melihatkan kepada prestasi semasa dipamerkan anak buah Nafuzi, sasaran di tempat kedua bukanlah sesuatu yang agak jauh untuk digapai.

Untuk memintas Selangor FC baki perlawanan musim ini, KDA FC perlu mengharapkan dua senario berlaku terhadap Selangor FC dalam empat aksi terakhir Gergasi Merah.

Dua senario itu ialah Selangor FC perlu sekurang-kurangnya kalah sebanyak sekali atau seri dalam dua aksi terakhir.

Bagaimanapun, untuk merealisasikan usaha itu, KDA FC perlu memungut 15 mata penuh dalam lima aksi terakhir liga yang dihadapinya.

Untuk itu, berikut Majoriti senaraikan tiga perlawanan penting yang berkemungkinan menjadi penentu kepada kejayaan KDA FC bagi menempatkan diri di tangga kedua liga:

1. KL City FC

372035822_338894545158396_7444788406063676077_n

Selain daripada Negeri Sembilan FC dan Kelantan FC, Kuala Lumpur City FC dilihat merupakan lawan KDA FC yang berada di luar kelompok teratas liga dalam lima aksi terakhirnya pada musim ini.

Bagaimanapun, cabaran daripada pasukan Warga Kota tidak boleh dianggap mudah kerana pada musim ini, skuad Sang Kenari tewas 2-3 ketika pusingan pertama Liga Super dalam aksi yang berlangsung pada 18 April lalu di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah.

Secara umumnya, KL City boleh dianggap sebagai sebuah pasukan yang memiliki kualiti agak setara dengan KDA FC terutamanya di bahagian serangan melalui pemain seperti Paulo Josue, Romel Morales dan Tchetche Kipre.

Namun, keputusan dijangka boleh lebih memihak kepada anak buah Nafuzi dengan mengambil kira prestasi semasa skuad Warga Kota selepas ia dikendalikan jurulatih baharu kelahiran Croatia, Nenad Bacina.

Dalam tiga perlawanan di bawah jurulatih terbabit, KL City tewas sebanyak dua kali dengan kedua-duanya ketika menentang pasukan kelompok teratas liga iaitu Selangor FC (0-2) dan Sabah FC (2-3).

Satu-satunya kemenangan yang diperolehi The City Boys adalah dalam aksi terakhirnya di Liga Super ketika menentang Perak FC dengan kemenangan 4-0.

Pertembungan antara KDA FC dan KL City FC dijadual berlangsung pada 30 September depan di Stadium Kuala Lumpur, Cheras.

2. Selangor FC

348997637_910735430010612_7056272934998591811_n

KDA FC hanya tewas tipis 2-3 kepada Selangor ketika aksi pusingan pertama Liga Super 2023. — KDA FC

Dalam empat perlawanan terakhir liga yang dihadapi Selangor FC, KDA FC merupakan satu-satunya pasukan di kelompok lima teratas liga akan dihadapi skuad Gergasi Merah.

Tiga pasukan lain akan ditentang anak buah Tan Cheng Hoe adalah Terengganu FC, Perak FC dan PDRM FC.

Meskipun Selangor FC pernah tewas kepada PDRM FC 0-1 ketika pusingan pertama liga, namun, ia merupakan satu-satunya kekalahan yang direkodkannya kepada pasukan di luar kelompok lima teratas liga.

Dengan mengambil kira prestasi semasa anak buah Cheng Hoe termasuk dengan kembalinya pemain utamanya, Faisal Halim yang kini berada dalam tahap persembahan terbaik, Gergasi Merah dilihat tidak mempunyai masalah menewaskan tiga lawan tersebut.

Dengan mengambil kira senario tersebut, tanggungjawab untuk memastikan agar Selangor FC keciciran sekurang-kurangnya tiga mata tentunya terletak di tangan anak buah Nafuzi.

Ketika aksi pusingan pertama antara kedua-dua pasukan pada musim ini di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah, anak buah Nafuzi hanya tewas tipis 2-3.

Disebabkan itu, KDA FC dilihat seharusnya mampu mencipta kejutan menewaskan Selangor FC lebih-lebih lagi dalam aksi yang berlangsung di hadapan penyokong sendiri pada 2 Disember depan.

Pada masa sama, berbanding Selangor FC yang masih perlu menghadapi dua perlawanan pusingan Suku Akhir Piala Malaysia masing-masing pada 16 dan 24 September, Nafuzi seharusnya mempunyai waktu mencukupi untuk bukan sahaja mendapatkan rehat buat pemainnya, tapi juga merencanakan strategi terbaik sebelum turun berdepan Gergasi Merah.

3. Sabah FC

371538268_335808018800382_1375984754032802166_n

KDA FC dilihat mempunyai kualiti pemain yang mampu mengejutkan Sabah FC di gelanggan sendiri. — KDA FC

Di atas kertas, pertembungan yang bakal menjadi perlawanan terakhir bagi kedua-dua pasukan pada musim ini sememangnya merupakan sesuatu yang sukar untuk diramal.

Apatah lagi, kedudukan kedua-duanya yang hanya dibezakan dengan dua mata ketika ini membuktikan bahawa mereka mempunyai tahap kualiti yang setara.

Bagaimanapun, KDA FC dilihat bakal berdepan dengan tugas getir apabila perlu bertandang ke Stadium Likas, Kota Kinabalu Sabah, yang disifatkan sebagai kubu kuat skuad Sang Badak.

Pada musim ini, daripada 12 perlawanan di gelanggang sendiri dihadapi anak buah Datuk Ong Kim Swee, mereka berjaya merekodkan kemenangan sebanyak 10 kali.

Dua perlawanan yang menyaksikan Sabah FC gagal memungut mata penuh ketika di Stadium Likas adalah masing-masing ketika seri 1-1 semasa menentang Terengganu FC dan tewas 1-5 tangan pendahulu liga JDT.

Namun, KDA FC tetap masih mempunyai peluang untuk mencipta kejutan dengan mengambil kira kualiti dimiliki anak buah Nafuzi.

Pada masa sama, keputusan aksi pusingan pertama antara kedua-dua pasukan juga menyaksikan KDA FC merekodkan kemenangan 2-1 ketika menerima kunjungan skuad Sang Badak dalam perlawanan yang berlangsung Stadium Darul Aman pada 2 Jun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram