[VIDEO] Berang kalah 'derby', ultras kelab Itali bakar stadium lawan


  • Podium
  • Sabtu, 09 Sep 2023

Tangkap layar daripada klip yang dirakam dari luar Stadium Taranto, Itali ketika kebakaran masih tercetus baru-baru ini.

PERTEMBUNGAN liga bawahan Itali antara Taranto FC dan Calcio Foggia pada Isnin lalu bertukar hangat apabila penyokong pihak pelawat bertindak membakar stadium milik Taranto FC.

Dalam aksi 'derby' Serie C itu, Calcio Foggia mengalami kekalahan dalam perlawanan pembukaan musim ini apabila tuan rumah meraih dua gol hasil jaringan Matias Antonini dan Mamadou Kanoute.

Kecewa dengan keputusan tersebut, penyokong yang berada di kawasan 'ultras' bertindak membaling bom asap ke arah padang untuk menyuarakan perasaan mereka.

Bagaimanapun, tindakan berkenaan memakan diri apabila api secara tiba-tiba menyala selepas difahamkan bom asap yang dibaling mengenai barangan mudah terbakar.

Kebakaran yang sempat dirakam di luar Stadium Taranto, Itali.

Api mula marak sebelum ia tersebar ke arah tempat duduk penyokong dengan masih terdapat segelintir daripada mereka masih belum mengosongkan kawasan berkenaan.

Namun, tindakan pantas polis serta pihak keselamatan stadium membolehkan zon penyokong itu segera dikosongkan sementara memastikan keadaan terus terkawal.

Menurut laporan terkini, tiada mangsa terlibat dengan insiden itu, namun api yang marak menyebabkan beberapa kemudahan di stadium musnah, sekali gus menyebabkan kerugian mencecah ribuan ringgit.

Selain itu, difahamkan beberapa penyokong Calcio Foggia sudah berjaya ditahan dengan kerja-kerja siasatan masih giat dijalankan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram