BUMI Indonesia menjadi saksi bersejarah buat bekas pemain import Penang FC, Christian Rontini yang dilaporkan baharu selesai menjadi saudara baharu selepas memeluk agama Islam pada Selasa.
Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh pemain campuran Filipina-Itali itu di laman Instagram peribadinya sambil memuat naik beberapa gambarnya memakai jubah berwarna putih dan ditemani oleh beberapa rakannya.
Rontini difahamkan mengucap dua kalimah syahadah di Masjid Raya Al-A'zhom di Kota Tangerang, Jawa Barat, Indonesia yang mana ketika ini juga dia sedang melebarkan kariernya bersama kelab Liga 1 Indonesia, Persita Tangerang.
"Ash-hadu an la ilaha illa ALLAH, Wa ash-hadu anna Muhammadan Rasulu-ALLAH. Semoga ALLAH memberi saya kekuatan dan mendapat keberkatan untuk permulaan sebagai saudara baharu.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang datang dan bersama-sama untuk meraihkan hari bahagia saya ini. Saya doakan yang terbaik untuk anda semua. Bismillah-ir-Rahman-ir-Rahim. Amin," kata Rontini pada laman Instagramnya.
Rontini sebelum mengucap dua kalimah syahadah. — Instagram/Rontini
Pengumuman pemain berusia 24 tahun sebagai saudara Islam baharu turut disambut baik oleh beberapa tonggak Penang FC dan Kelantan FC seperti penjaga gol Harimau Kumbang, Khatul Anuar serta arkitek tengah The Red Warriors, Fazrul Amir.
Bek tengah itu sebelum ini memilih untuk menamatkan kontraknya bersama Kelantan pada 17 April lalu berikutan masalah dalaman iaitu tunggakan gaji yang melanda kelab Pantai Timur berkenaan.
Namun, tidak lama selepas penghijrahannya dari Kelantan FC, Rontini diumumkan sebagai pertahanan kental baharu untuk kelab Liga 1 Indonesia, Persita Tangerang pada Mei.
Sebelum Rontini, import PDRM FC, Bruno Suzuki juga disahkan memeluk Islam di Masjid Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur pada Rabu dan difahamkan pemain berusia 33 tahun tersebut mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Ustaz Arif M. Rajoli. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram