Lee Tuck bukan 'star', tak sama macam Zinedine Zidane... Tak perlu panggil wakil HM – Jamal Nasir


  • Podium
  • Selasa, 05 Sep 2023

Lee Tuck sudah mengumpul sebanyak lapan kap bersama skuad Malaysia. — Instagram/LeeTuck

STATUS pemain naturalisasi negara, Lee Andrew Tuck bersama Harimau Malaya masih samar-samar selepas bekas tonggak Kedah Darul Aman (KDA) FC itu memutuskan untuk kembali ke kampung halamannya di England pada Ogos lalu.

Disangka akan kembali ke tanah air bila mendapat call up skuad kebangsaan, namun nama Lee Tuck juga tidak tersenarai dalam 26 pemain untuk aksi persahabatan Harimau Malaya di Chengdu, China bagi menentang pasukan bola sepak China dan Syria.

Oleh itu, ada sebahagian penyokong mula membuat spekulasi bahawa bekas pemain Sri Pahang itu sudah bersara dari bola sepak tanah air berikutan sehingga kini Lee Tuck dilaporkan masih tidak mempunyai kelab.

Sekiranya pemain berusia 35 tahun itu masih berstatus ejen bebas sehingga Piala Asia Qatar 2023 pada Januari ini, ramai penyokong mempersoalkan sama ada Lee Tuck boleh dikekalkan sebagai pemain skuad kendalian Kim Pan-gon.

Penyokong skuad kebangsaan menggemari aksi Lee Tuck di atas padang dan menyifatkan dia antara pemain naturalisasi terbaik negara terutamanya selepas dia menjaringkan dua jaringan gol buat Harimau Malaya.

WhatsApp Image 2023-09-04 at 23.16.45-2

Lee Tuck bersama keluarga ketika berada di lapangan terbang sebelum berangkat ke England.

Tampil memberi pendapat mengenai status Lee Tuck, legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir berpendapat bahawa pemain yang tidak mempunyai kelab seperti tonggak tengah itu tidak berbaloi dipanggil ke skuad Pan-gon.

“Bila dia (Lee Tuck) tiada kelab maknanya kelab lain pun tak nak dia. Pemain ini dah kira tiada value, buat apa main untuk Malaysia. Dia tidak berbaloi untuk terus dipanggil.

“Dia bukan star untuk diambil. Bila sekarang dia tiada kelab, makna pasukan lain tak ambik dia sebab dia tak bagus.

“Jika dia ada kualiti, patut ada kelab lain dah sambar bila dah dilepaskan Kedah. Tapi until now tiada kelab ambil dia. Kita tak tahu kenapa dia tinggalkan Kedah. Mungkin masalah lain yang hanya mereka tahu,” katanya kepada Majoriti.

Tambahnya, statusnya yang masih samar-samar sama ada masih beraksi ataupun sebaliknya jelas menyukarkan untuk pasukan Harimau Malaya memburu khidmatnya.

Daripada memujuk Lee Tuck, Jamal sebaliknya menyarankan agar melihat bakat-bakat pemain lain yang beraksi di Liga Super untuk beraksi bersama Harimau Malaya.

WhatsApp Image 2023-09-04 at 23.16.45

Pada 26 Julai 2023, KDA FC membuat pengumuman mengejut yang mengesahkan Lee Tuck akan meninggalkan pasukan itu serta merta.

“Kita ada ramai pemain. Pemain lain pun boleh wakili Malaysia. Penting untuk kita pantau pemain yang beraksi di liga kita.

“Macam pemain dari JDT (Johor Darul Takzim (JDT), Akhyar Rashid walaupun bukan pemain regular tapi masih perform untuk HM (Harimau Malaya),” tambahnya.

Bekas pemain Sri Pahang itu juga sempat mengulas apabila ada penyokong yang menyamakan legenda Perancis, Zinedine Zidane yang beraksi di Piala Dunia 2006 walaupun berstatus tanpa kelab ketika itu.

“Tidak boleh bandingkan Zidane dengan Lee Tuck. Zidane itu lain kategori,” jelasnya.

Zidane mengumumkan berpisah dengan Real Madrid pada Mei 2006 namun selepas itu dia kembali menyarung jersi Perancis bagi membantu negaranya beraksi di saingan Piala Dunia.

Pemain tengah itu berjaya membantu Perancis layak sehingga ke perlawanan akhir Piala Dunia 2006 namun tewas pada penentuan penalti 3-5 kepada Itali selepas terikat 1-1 dalam 120 minit aksi.

Sementara Lee Tuck sudah mengumpul sebanyak lapan kap bersama skuad Malaysia dan menjadi antara watak penting pada beberapa perlawanan persahabatan tahun ini serta kejohanan Piala AFF 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram