'Transfer window' lama lagi tapi fans Selangor ‘pangkah’ Boakye, idam import persis legenda treble


  • Podium
  • Isnin, 04 Sep 2023

Brian Fuentes (tiga dari kiri) mengumpul 74 gol sepanjang tempohnya menyarung jersi keramat Selangor. — Agensi

PENYERANG import Selangor FC, Richmond Boakye mempunyai reputasi sendiri ke saingan Liga Malaysia (Liga M) ekoran latar belakangnya yang sebelum ini pernah beraksi bersama pasukan gergasi Itali, Juventus.

Namun, pengalamannya yang pernah berkelana di beberapa pasukan Eropah seperti Juventus, Atalanta BC dan kelab La Liga, Elche CF masih belum diterjemahkan sebaiknya dalam saingan domestik setakat ini.

Biarpun pemain kelahiran Ghana itu mencetak hatrik dalam kemenangan Gergasi Merah 11-2 ke atas Kelantan FC pada 25 Ogos 2023, namun prestasinya masih belum memuaskan hati penyokong.

Termasuk tiga jaringan di Kota Bharu itu, pemain berusia 30 tahun tersebut setakat ini sudah mencetak lima gol dan tiga hantaran bantuan dalam tujuh penampilan Liga Super setakat ini.

Prestasi yang hanya berada di tahap sekadar sedap mata memandang itu belum cukup memberi keyakinan kepada sebahagian pengikut Gergasi Merah sehingga ada mempersoalkan sama ada Boakye perlu dikekalkan ataupun sebaliknya.

“Apa pendapat anda pasal Richmond Boakye ni? Patut atau tak dikekalkan untuk musim depan? Menjaringkan tiga gol ketika membelasah Kelantan. Tapi masih belum cukup untuk menunjukkan yang dia perlu dikekalkan untuk musim depan. Adakah dia perlu menerima kritikan untuk lebih perform dan berkeyakinan game akan datang?,” tanya seorang penyokong yang enggan mendedahkan namanya di laman Facebook, Kelab Penyokong Selangor.

BOAKYE

Boakye menjaringkan hatrik pertama bersama Selangor. Facebook/Selangor FC

Soalan dari penyokong berkenaan mendapat pelbagai reaksi daripada peminat lain namun kebanyakannya menolak idea untuk mengekalkan Boakye dalam skuad Selangor bagi saingan musim depan.

Sebaliknya, penyokong sudah mula memberi ciri-ciri penyerang yang sesuai bagi membantu Selangor FC di saingan Liga M dan juga berkemungkinan akan menjadi penggempur utama bagi saingan Piala AFC.

Pada Jun lalu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan bahawa Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memperuntukkan dua slot pertandingan kelab AFC bagi Tier 1 dan Tier 2 musim 2024/2025.

Selangor FC yang kini berada pada kedudukan kedua dalam saingan Liga Super berpeluang untuk ke Piala AFC sekiranya Gergasi Merah boleh menghuni tempat kedua sehingga ke hujung musim ini.

“Tidak payah kekalkan (Boakye) cari penyerang macam Brian Fuentes, rajin dan laju,” kata penyokong Selangor, Aidil Fiza.

“Jendela perpindahan nanti. Cari yang lebih padu dań muda. Untuk musim baharu, banyak pemain muda-muda dekat Amerika Selatan sana. Bawa masuk seorang dua. Takkan nak jadi lauk dengan JDT (Johor Darul Takzim) sahaja,” tambah penyokong, Johari Abdulllah Sani.

Penyokong rata-ratanya mengidamkan pemain seperti legenda Selangor FA, Brian Diego Fuentes yang pernah menghadiahkan trofi treble buat Selangor pada musim 2005.

Dalam tiga musim bersama Selangor sejak 2004, Brian Fuentes mengumpul 74 gol sepanjang tempohnya menyarung jersi keramat skuad Red Giant dan merupakan import paling produktif menjaringkan gol untuk Selangor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram