
PENGENDALI Johor Darul Takzim (JDT), Esteban Solari layak mendapat pujian menggunung daripada penyokong Harimau Selatan apabila dilihat sering memberi peluang kepada pemain muda untuk menyertai latihan skuad utama.
Hal itu dapat dilihat apabila beberapa wajah pemain dari JDT II dan prospek dari Piala Presiden dilihat menjalani sesi latihan bersama skuad utama Harimau Selatan seperti import Brazil, Bergson da Silva, Afiq Fazail serta tonggak lain.
Menerusi laman media sosial rasmi JDT, pemain muda yang mendapat peluang keemasan itu ialah pertahanan, Adam Farhan; tonggak tengah JDT II, Aysar Hadi; penyerang, Gabriel Nistelrooy Tamin dan ada juga wajah dari skuad Piala Presiden.
Pemain dari skuad Piala Presiden yang dikenali sebagai Fakrul Haikal Razali itu mencuri perhatian penyokong JDT sehingga ada yang mempercayai bahawa jika pemain berkenaan mampu menjadi aset pertahanan Harimau Selatan.
Dalam hantaran JDT itu, Fakrul Haikal menggayakan rambutnya seperti tonggak tengah Real Madrid, Eduardo Camavinga dan membuatkan ramai penyokong menyangka bahawa ia adalah kelibat import baharu.
Fakrul Haikal ketika aksi Piala MFL. — Facebook/JDT
"Pemain import baharu ke? Macam Camavinga," kata penyokong JDT, Hairul Anuar.
"Aku memang minat Camavinga. Sangka dah datang JDT," tambah penyokong Harimau Selatan, Yasin Ali.
Fakrul Haikal antara tonggak utama skuad Javier Jorda yang membantu JDT III berhasil muncul juara Piala Presiden setelah menewaskan Sri Pahang FC 2-0 dan 4-2 secara aggregat pada musim 2022.
Musim ini pula, bakat propek Harimau Selatan itu berhasil memikat pengendali JDT II, Mariano Echeverria untuk memanggilnya beraksi dalam beberapa perlawanan untuk saingan Piala MFL.
Walaupun ia hanya sesi latihan biasa namun peluang diberikan Solari itu pastinya menjadi titik tolak buat Fakrul Haikal menjadi seorang pemain yang lebih baik dan berkemungkinan dia antara pilihan untuk dinaikkan pangkat pada musim depan.
Feroz Baharudin menjadi antara contoh pemain muda pertahanan berjaya mendapat tempat dalam kesebelasan utama JDT sehingga berjaya mengetepikan Shahrul Saad yang sebelum itu sering menjadi pilihan ketua jurulatih.
Eksperimen Solari sebelum ini juga meraih pujian apabila memanggil Gabriel Nistelrooy dalam latihan skuad utama sehingga ia membawa keterujaan kepada pengikut Harimau Selatan untuk melihatnya beraksi pada perlawanan Piala Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram