KEPUTUSAN seri 2-2 yang dicatatkan Harimau Malaya ketika berdepan Syria dalam aksi persahabatan sudah cukup memberikan perasaan memuaskan buat penyokong bola sepak tempatan.
Selepas ketinggalan dengan dua gol pada separuh masa pertama, skuad kebangsaan mempamerkan aksi lebih bertenaga pada babak kedua.
Gol daripada Akhyar Rashid dan Darren Lok menyaksikan rekod tanpa kalah Harimau Malaya diteruskan kepada lima perlawanan, sekali gus menambah mata negara dalam ranking FIFA.
Bagaimanapun, aksi di Chengdu, China pada Rabu itu menyaksikan beberapa pemain gagal menampilkan persembahan terbaik sepanjang berada di atas padang.
Antara yang mencuri perhatian atas kekecewaan tersebut ialah pemain sayap muda, Arif Aiman Hanapi yang boleh dilabel sebagai ayam tambatan buat skuad kendalian Kim Pan-gon.
Harapan tersebut diletakkan atas prestasinya yang cemerlang di peringkat kelab mahupun bersama Harimau Malaya memandangkan dia sebelum ini mencatatkan hatrik dalam aksi persahabatan berdepan Papua New Guinea.
Akhyar yang menggantikan Arif Aiman meraih gol pertama buat skuad kebangsaan. — Facebook/FAM
Tetapi, sepanjang 45 minit berdepan Syria, bintang Johor Darul Takzim (JDT) itu dilihat tidak dapat menembusi benteng pertahanan lawan, baik dari segi hantaran mahupun gelecekannya.
Menyedari kesukaran yang dihadapinya, Pan-gon memilih untuk menggantikan Arif Aiman memasuki babak kedua dan digantikan dengan Akhyar Rashid dengan keputusan tersebut jelas membuahkan hasil.
Persembahan kurang bermaya itu menyaksikan penyokong bola sepak tanah air mula mempersoalkan kesungguhannya setiap kali beraksi dalam skuad kebangsaan.
Bagaimanapun, tampil mempertahankan anak jati Pahang itu adalah sebahagian peminat setia Harimau Malaya yang berasakan ia merupakan satu tindakan tidak adil untuk menilai persembahan Arif Aiman sahaja.
Antara yang memberikan pandangannya atas persembahan kurang meyakinkan daripada pemain sayap tersebut ialah Opus Osai yang mengatakan penyerang berusia 21 tahun berkenaan tidak mahu terlibat dalam sebarang jenis kecederaan.
Kebolehan Arif Aiman pastinya ditagih ketika saingan ACL buat JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
"Arif Aiman ni main guna otak, dia tahu pemain berdarah Arab ni mempunyai fizikal cukup baik dan kuat. Kalau dia terlalu bersungguh-sungguh, mungkin akan ada risiko kecederaan," katanya.
Selepas ini, Arif akan bersama-sama JDT beraksi dalam saingan Liga Juara-juara AFC (ACL) yang akan berlangsung setelah perlawanan pembukaan Piala Malaysia berdepan Negeri Sembilan FC.
Jika kecederaan melandanya, skuad Harimau Selatan akan tempang dari segi serangan, lebih-lebih lagi apabila mereka sudah kehilangan khidmat Fernando Forestieri.
Di samping itu, beberapa penyokong lain turut mempertahankan persembahan kurang bergaya daripada Arif dengan menegaskan isu padang turut memainkan peranan.
"Tengokkan padang sahaja, hilang semangat pemain Malaysia untuk bermain. Ingatkan beraksi dalam perlawanan Tier 1, dapat bermain di venue lebih baik," tulis Mayell Decrown Dedoor.
"Padangnya pun tak berapa elok. Bola asyik melantun-lantun, tidak seperti padang di JDT. Lagipun, nampak Arif dikawal ketat tu," kata Zahir Sadi.
Harimau Malaya bakal berdepan China dalam satu lagi aksi persahabatan antarabangsa pada Sabtu dengan harapan untuk menaikkan lagi kedudukan negara dalam ranking FIFA. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram