Lebih banyak di bangku simpanan tapi ekor HM mahu Akhyar Rashid ganti Arif Aiman


  • Podium
  • Jumaat, 08 Sep 2023

Akhyar meledak jaringan gol bersama Harimau Malaya pada aksi menentang Syria.

KEJAYAAN berhasil mengikat Syria dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 pada Rabu lalu membuatkan ramai penyokong berharap agar aksi cemerlang tersebut boleh diulang semula semasa menentang China nanti.

Meskipun pada awalnya Malaysia ketinggalan 0-2 pada aksi persahabatan edisi Ogos itu namun dua pemain gantian iaitu Akhyar Rashid dan penyerang, Darren Lok berhasil menyamakan kedudukan hingga wisel penamat berbunyi.

Jaringan gol dari pemain sayap Johor Darul Takzim (JDT), Akhyar itu mendapat pujian daripada pelbagai penyokong sehingga jurulatih legenda Kedah, Azraai Khor Abdullah menggelarnya sebagai pakar perlawanan antarabangsa.

Gelaran tersebut mula timbul apabila pemain berusia 24 tahun itu masih mampu memberikan persembahan cemerlang bersama skuad kebangsaan walaupun dia tidak mencukupi minit permainan bersama Harimau Selatan.

Bersama juara Piala FA musim 2023 itu, pemain kelahiran Kedah tersebut hanya turun dalam 11 perlawanan Liga Super dan meraih 150 minit permainan dengan dua jaringan gol serta satu hantaran bantuan.

WhatsApp Image 2023-09-08 at 19.35.56

Penyokong mengharapkan agar Arif Aiman meledak jaringan gol pada aksi bersama Harimau Malaya.

Dengan minit permainan sebegitu, ramai penyokong meletakkan harapan yang kurang kepada Akhyar untuk tugasan negara namun bekas pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC itu membuktikan sebaliknya.

Sehinggakan ada sebahagian ekor Harimau Malaya lebih memilih untuk Akhyar diturunkan sebagai kesebelasan utama menentang China pada Sabtu ini berbanding penyerang sayap sensasi, Arif Aiman Hanapi.

Semasa aksi menentang pasukan di ranking ke-94 dunia itu, Arif Aiman yang sepatutnya diharap mencetak jaringan gol buat skuad kendalian Kim Pan-gon namun gagal memberikan prestasi terbaiknya.

Harapan tersebut diletakkan atas prestasinya yang cemerlang sebelum ini bersama Harimau Malaya apabila pemain berusia 21 itu mencatatkan hatrik dalam aksi persahabatan berdepan Papua New Guinea.

Namun apa pun percaturan pengendali dari Korea Selatan tersebut, Pan-gon pastinya mempunyai ramuan tersendiri untuk menundukkan ataupun mengikat pasukan di ranking ke-80 dunia, China. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram