Percayakan bek muda antara satu daripada 3 cara Sang Kenari gagalkan misi Selangor ke Asia


  • Podium
  • Jumaat, 08 Sep 2023

Selangor FC dan KDA FC merupakan dua pasukan yang sedang merebut slot terakhir untuk ke Piala AFC 2024. — Facebook/KDA FC

EMPAT baki perlawanan Liga Super 2023 merupakan satu-satunya penghalang buat Selangor FC untuk kembali melayakkan diri ke pertandingan peringkat Asia musim depan.

Mereka yang ketika ini berada di tangga kedua memiliki kelebihan lima mata berbanding Kedah Darul Aman (KDA) FC yang menduduki kedudukan ketiga liga.

Selain itu, prestasi memberangsangkan juga boleh menjadi batu loncatan untuk merealisasikan harapan berkenaan selepas kali terakhir beraksi dalam Piala AFC pada 2016.

Empat kemenangan dalam lima perlawanan terakhir Liga Super membuktikan bahawa skuad Gergasi Merah memiliki rentak amat baik berbanding pasukan lain.

Bagaimanapun, prestasi berkenaan pastinya tidak mendesak pencabar terdekat, KDA FC untuk mengibarkan bendera putih terlalu awal untuk merebut slot ke pentas Asia.

375462588_340212418359942_4143971997371813895_n

Nafuzi membawa nafas baharu buat skuad Sang Kenari musim ini. Facebook/KDA FC

Meskipun skuad Sang Kenari berdepan kejutan apabila tersingkir daripada Piala Malaysia baru-baru ini, semangat pasukan tersebut disemarakkan semula apabila berjaya mencuri mata daripada Johor Darul Takzim (JDT).

Di samping itu, pasukan Utara tanah air berkenaan juga mempunyai kelebihan satu perlawanan berbanding Selangor FC, sekali gus membuatkan perlumbaan tersebut semakin hangat.

Namun, ia bukanlah satu usaha yang mudah buat mereka memandangkan KDA FC sering mengalami kekalahan mengejutkan musim ini, seperti ketika berdepan PDRM FC dan Perak FC.

Tetapi, melihat kepada kesungguhan pemain skuad Sang Kenari ketika ini, mereka seperti masih berpeluang untuk meraih slot berharga itu daripada Selangor FC.

Berdasarkan situasi semasa KDA FC, terdapat tiga perkara yang perlu diberi perhatian pihak kejurulatihan Sang Kenari untuk merealisasikan hasrat mereka itu.

1. Menggunakan formasi ketika berdepan JDT

Melihat kepada pendekatan ketua jurulatih, Nafuzi Zain ketika berdepan JDT, pasukan Utara tanah air tersebut turun dengan dua pemain tengah bertahan, Amirul Hisyam Awang Kechik dan Moses Atede.

Gandingan kedua-dua mereka sememangnya cukup berhasil apabila mereka sering mengecewakan gerakan serangan pasukan lawan sepanjang 90 minit permainan.

Selain itu, Amirul Hisyam serta Atede turut beraksi dengan cemerlang ketika KDA FC menguasai bola memandangkan mereka cukup tenang.

370239274_335808105467040_7920176423215815366_n

Beberapa perubahan dibuat Nafuzi ketika KDA FC berdepan JDT. Facebook/KDA FC

Pendekatan sebegini merupakan salah satu kunci di sebalik kejayaan mereka memandangkan Nafuzi sebelum ini jarang meletakkan mereka berdua dalam kesebelasan utama.

Jika perkara sebegitu dapat diteruskan untuk baki perlawanan Liga Super, terdapat kemungkinan mereka mampu mencatatkan kemenangan dalam kesemua aksi berkenaan.

Di samping itu, perlawanan menentang JDT itu turut menyaksikan KDA FC menggunakan khidmat penyerang sayap baharu, J Partiban selepas dibawa masuk dari Kuala Lumpur (KL) City FC secara pinjaman.

Penggunannya boleh dikatakan sebagai satu perubahan baharu buat skuad Sang Kenari dengan pemain berkenaan beraksi lebih baik berbanding Fayadh Zulkifli Amin.

2. Merehatkan pemain ketika MFL Challenge Cup

Selepas tersingkir daripada Piala Malaysia di tangan Perak FC, KDA FC berpeluang mengubat kekecewaan tersebut apabila mereka bakal beraksi dalam MFL Challenge Cup.

Pasukan Utara tanah air itu dijadualkan untuk berdepan pasukan tercorot Liga Super, Kuching City FC dalam aksi suku akhir yang bakal berlangsung pada 18 September.

Pertandingan tersebut pastinya dianggap cukup penting dalam kalangan penyokong Hijau Kuning yang mahu skuad kendalian Nafuzi Zain meraih sekurang-kurangnya satu trofi musim ini.

WhatsApp Image 2023-08-31 at 17.12.46

Skuad Sang Kenari bakal berdepan Kuching City FC dalam saingan MFL Challenge Cup. Facebook/KDA FC

Bagaimanapun, dengan sasaran lebih besar diletakkan untuk menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua, KDA FC perlu melakukan pengorbanan dalam MFL Challenge Cup.

Antara pendekatan yang sesuai diambil adalah dengan tidak menurunkan pemain utama mereka untuk mengelakkan masalah kecederaan terus menimpa.

Meskipun KDA FC mempunyai lambakan pemain muda berkualiti, perbezaan pastinya dapat disaksikan sekiranya mereka yang kurang berpengalaman diturunkan.

3. Meletakkan kepercayaan buat Azrin Afiq

Sepanjang musim ini, Nafuzi dilihat amat cenderung untuk menggunakan khidmat pemain berusia 24 tahun, Kamil Akmal di posisi bek kiri.

Meskipun pertahanan berkenaan lebih selesa untuk beraksi di posisi sayap kanan bertahan, dia dipilih dengan lebih kerap melihat kepada pengalamannya dalam Liga Super.

Bagaimanapun, ketika berdepan JDT di laman sendiri tempoh hari, pengendali kelahiran Kelantan itu mengambil inisiatif menggunakan pemain lebih muda, Azrin Afiq.

370484137_335807582133759_1073557268212279695_n

Azrin Afiq diletakkan sebagai bek kiri ketika berdepan JDT tempoh hari. Facebook/KDA FC

Tetapi, perkara mengejutkan terjadi apabila bek kiri tersebut beraksi dengan lebih baik meskipun diberikan tugasan untuk mengunci gerakan Arif Aiman Hanapi.

Jadi, untuk baki perlawanan Liga Super, terdapat cadangan untuk menggunakan pemain berusia 21 tahun itu dengan lebih kerap berbanding Kamil Akmal.

Namun, terdapat kekhuatiran berlaku sekiranya sandaran diletakkan di bahunya memandangkan wujudnya kemungkinan Azrin tidak dapat diturunkan untuk aksi berdepan Selangor FC apabila dia merupakan pemain simpanan dari kelab berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram