SEJAK menggegarkan jaring Syria dalam aksi persahabatan Tier 1 tempoh hari, nama pemain sayap negara, Akhyar Rashid mula meniti di bibir penyokong bola sepak tempatan.
Dia yang dibawa masuk untuk menggantikan Arif Aiman Hanapi memikul tanggungjawab berat dalam pertembungan berkenaan ketika Harimau Malaya sedang ketinggalan dengan dua gol.
Namun, peranan itu digalas dengan cukup baik oleh Akhyar apabila dia beraksi dengan sungguh baik dengan hal itu dapat disimpulkan menerusi jaringannya.
Kebijaksanaanya untuk tidak berada dalam keadaan ofsaid memberi bayangan bahawa penyerang berkenaan cukup peka dengan kedudukan pihak lawan.
Tidak cukup dengan itu, ketenagannya ketika menerima hantaran daripada Endrick dos Santos turut menceritakan mengenai kualiti yang dibawanya buat skuad kebangsaan.
Jaringan tersebut jelas memberi satu semangat buat skuad kendalian Kim Pan-gon dalam perlawanan itu apabila mereka kemudiannya beraksi dengan lebih baik.
Akhyar memainkan peranan penting ketika aksi persahabatan menentang Syria. — Facebook/FAM
Kesungguhan terbabit membuahkan hasil apabila pasukan kebangsaan berjaya mengikat pasukan dari Timur Tengah berkenaan menerusi gol lewat daripada Darren Lok.
Tumpuan semestinya terus diberikan kepada Akhyar memandangkan pemain tersebut tampak begitu tenang sepanjang 45 minit permainan meskipun jarang meraih penampilan di peringkat kelab bersama Johor Darul Takzim (JDT).
Selain tenang ketika situasi satu lawan satu ketika berdepan penjaga gol Syria, pemain sayap berusia 24 tahun itu juga membawa satu nafas baharu dalam perlawanan berkenaan.
Mengulas akan persembahan cemerlang Akhyar, pemerhati bola sepak ternama, Keesh Mat Stats menganggap penyerang tersebut boleh dikategorikan seorang yang expressionist.
"Dalam era aku menonton bola sepak Malaysia, aku rasa Akhyar Rashid adalah pemain paling sedap mata memandang yang pernah Malaysia hasilkan.
"Bukan aku nak cakap dia luar biasa dari segi skil dan rekod jaringan, tapi dari segi sedap untuk dipandang oleh mata kasar, aku tak pernah jumpa pemain yang lebih menarik untuk ditonton berbanding Akhyar," katanya.
Khidmat Akhyar masih diperlukan bersama skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Dia berkata demikian dalam satu sesi siniar (podcast) Bola Itu Life untuk membincangkan mengenai aksi persahabatan antara Syria dan Harimau Malaya di Chengdu, China pada Rabu lalu.
Menurutnya, kebolehan Akhyar untuk mengawal bola ketika menerima hantaran di samping memperdayakan pihak lawan adalah salah satu aset terbesar dimiliki pemain JDT itu.
Meskipun tidak boleh dinafikan bahawa Arif Aiman merupakan antara penggelecek terbaik negara, persembahan dipamerkan Akhyar meletakkannya dalam satu kelas tersendiri.
"Arif Aiman adalah dribble, tapi Akhyar adalah penggelecek. Dia ada cara kampung dalam gaya permainannya yang membuatkan aku betul-betul tertarik untuk tonton gaya permainannya," kata Keesh lagi.
Jaringan ketika berdepan Syria itu menyaksikan anak jati Kedah berkenaan sudah berjaya memperoleh lapan gol bersama skuad kebangsaan sejak mencipta debut pada 2018.
Tetapi, di peringkat kelab pula, kebolehannya juga tidak boleh dipandang enteng memandangkan dia masih berjaya meraih dua gol Liga Super musim ini meskipun lebih kerap dibawa masuk sebagai pemain simpanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram