JENTERA serangan Johor Darul Takzim (JDT) ketika ini sukar dibendung apabila mereka dilihat terlalu mudah merobek gawang gol lawan untuk setiap perlawanan.
Dalam lima perlawanan terakhir mereka, pasukan Selatan tanah air itu sudah menjaringkan 28 gol, termasuk ketika mereka mencatatkan kemenangan 10-0 ke atas Kelantan FC dalam aksi timbal balik Piala Malaysia.
Lebih mengejutkan lagi, skuad Harimau Selatan turut berada dalam kelas tersendiri sepanjang musim 2023 apabila kelab itu sudah menjaringkan 82 gol Liga Super.
Bagaimanapun, ujian sebenar menanti pasukan kendalian Esteban Solari apabila mereka bakal berentap dalam saingan Liga Juara-juara AFC (ACL) tidak lama lagi.
Cabaran besar dilihat menanti mereka apabila JDT diundi di samping Kawasaki Frontale (Jepun), BG Pathum United (Thailand) dan Ulsan Hyundai (Korea Selatan) dalam pertembungan Kumpulan I.
Diogo (kiri) mempunyai status sebagai antara import terbaik dalam Liga Thailand. — Agensi
Ia dilihat bukanlah sesuatu yang mudah untuk ditempuhi juara Liga Super sembilan kali berturut-turut tersebut memandangkan pengalaman turut memainkan peranan penting dalam pertandingan itu.
Jadi, khidmat penyerang-penyerang berkualiti sememangnya diharapkan untuk membantu mereka melayakkan diri ke peringkat kalah mati buat tahun kedua berturut-turut.
Ketika ini, skuad Harimau Selatan dibarisi dua penyerang unggul, iaitu Heberty Fernandes dan Bergson da Silva dengan mereka cukup berkualiti dalam peranan masing-masing.
Bagaimanapun, sentuhan penyerang senior pasukan, Diogo Luis Santo pastinya lebih diharapkan memandangkan penyerang terbabit mempunyai pengalaman lebih luas dalam saingan ACL.
Bekas penyerang BG Pathum United itu sememangnya merupakan antara peledak import terbaik pernah mewarnai bola sepak Asia sejak tiba di Thailand pada 2015.
Diogo dilihat sedang melaporkan diri ke kem latihan pasukan utama JDT.
Namun, pemain berkenaan terpaksa direhatkan sejak pertengahan Julai lalu akibat kecederaan yang dialaminya sehingga memaksa JDT mendapatkan khidmat Heberty pada jendela perpindahan kedua Liga Super.
Berita itu turut dikongsikan pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris yang berasakan penyerang berusia 36 tahun berkenaan tidak akan beraksi untuk beberapa bulan lagi.
Tetapi, dalam satu klip di padang latihan skuad Harimau Selatan baru-baru ini, Diogo dilihat sudah berada dalam sesi latihan bersama pasukan utama.
Perkhabaran berkenaan pastinya cukup menggembirakan rata-rata penyokong JDT yang amat teruja sambil menghitung hari untuk menyambut kepulangannya di atas padang.
"Semoga Diogo diberikan kesihatan yang baik menjelang ACL, termasuk (Fernando) Forestieri dan Leandro (Velazquez)," kata Taha Jdt Taha.
Status kepulangan Forestieri turut dinanti-nantikan penyokong skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
"Kelibatnya memang dinanti-nantikan penyokong serta peminat JDT. Walaupun usianya semakin meningkat dan lariannya juga agak perlahan, namun pengalaman luasnya menjadi aset utama JDT," kata Hrv Miky.
"Satu-satunya pemain yang tidak tamak. Tua, tetapi cukup berguna setiap kali bertemu pasukan yang bertahan. Tidak laju, tetapi gemar melakukan percubaan tanpa sedar," kata Ly JB pula.
Selepas ini, skuad Harimau Selatan bakal berdepan Negeri Sembilan FC untuk perlawanan suku akhir Piala Malaysia pada 13 September di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
JDT kemudiannya akan berentap dalam saingan ACL berdepan Kawasaki Frontale di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 19 September untuk aksi pembukaan Kumpulan I. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram