[VIDEO] Perlawanan penuh kontroversi pengadil disiasat guna telefon buat keputusan VAR


  • Podium
  • Khamis, 07 Sep 2023

Nogueira menggunakan telefon pintar untuk berkomunikasi dengan pengadil VAR.

BADAN pegendali Liga Bola Sepak Profesional Portugis (LPFP) akan meminta Majlis Tatatertib menjalankan siasatan berhubung perlawanan di antara FC Porto dan Arouca susulan penggunaan telefon bimbit oleh pengadil untuk menyemak keputusan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Menerusi laporan The Portugal News, difahamkan badan yang bertanggungjawab dalam perlawanan itu membenarkan siasatan dilakukan selepas menerima penjelasan daripada Majlis Timbang Tara (CA) Persekutuan Bola Sepak Portugis (FPF) dan laporan daripada perwakilan perlawanan itu.

"LPFP memaklumkan bahawa pihaknya akan meminta Majlis Tatatertib (CD) FPF untuk memulakan proses siasatan berhubung punca insiden itu dan memastikan apa sebenarnya yang berlaku," katanya dalam satu kenyataan.

Pada Ahad lalu, perlawanan pusingan keempat liga antara FC Porto dan Arouca yang berlangsung di Stadium Estadio do Dragao, Portugal terganggu selama 14 minit ekoran kegagalan VAR.

Menurut FPF, teknologi pengadilan itu dilaporkan tidak berfungsi pada minit ke-87 perlawanan.

Dalam perlawanan yang berlarutan sehingga minit tambahan itu mencetuskan kontroversi apabila pengadil perlawanan, Miguel Nogueira menghadiahkan penalti kepada penyerang Porto, Mehdi Taremi pada minit 90+6.

Bagaimanapun, keputusan itu ditarik balik oleh pengadil dan memutuskan tiada penalti selepas berbincang dengan pegawai perlawanan yang lain menerusi telefon pintar tersebut.

Berikutan keputusan yang dibuat tanpa VAR, FC Porto dalam satu kenyataan telah mengemukakan bantahan terhadap kesahihan perlawanan itu.

Jurulatih FC Porto, Sergio Conceicao meminta perlawanan itu dibatalkan akibat salah laku pengadil.

"Kami (FC Porto) mengemukakan bantahan kepada perwakilan Liga dengan tujuan untuk membatalkan perlawanan dengan Arouca. Langkah ini adalah berdasarkan tindakan pengadil sewaktu menarik kembali keputusan itu.

"Ia berikutan keputusan itu dibuat berdasarkan panggilan telefon dan bukannya akses kepada VAR,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan tersebut, FC Porto menyifatkan Miguel Nogueira telah melanggar peraturan perlawanan.

"Tindakan Miguel Nogueira merupakan pelanggaran peraturan perlawanan yang berpotensi memberi kesan terhadap keputusan perlawanan,” jelas FC Porto. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram