Tiga ciri ubi muda Sabah digelar jelmaan Matlan Marjan


  • Podium
  • Khamis, 07 Sep 2023

Pasukan Sabah FC meraikan kemenangan selepas menewaskan Brunei. — Facebook/Sabahfc

SABAH FC berjaya membawa pulang kemenangan selepas menewaskan skuad nasional Brunei dengan keputusan 3-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 2 di Stadium Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, Brunei pada Rabu.

Penyerang Sabah FC, Ramon Machado berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-12 selepas dijatuhkan oleh pertahanan Brunei di dalam kawasan kotak penalti sekali gus merupakan gol pembukaan Sang Badak.

Bersambung babak kedua, Brunei berjaya menggegarkan jaring pasukan pelawat menerusi rembatan kencang Adi Said sekali gus menyamakan kedudukan 1-1.

Kelekaan dan kealpaan pertahanan Brunei mengundang padah pada minit ke-69 apabila Jafri Firdaus Chew mencetak gol kedua buat pasukan The Rhinos.

Sebelum wisel penamat ditiupkan, Sabah menambah lagi satu jaringan menerusi pemain muda, Sappie Ashri selepas menerima hantaran lintang daripada Ummareng Bacok.

Susulan gol ketiga Sabah itu, ramai penyokong berpendapat bahawa pemain muda itu digelar sebagai jelmaan legenda Sabah, Matlan Marjan.

Nama Matlan Marjan pastinya tidak asing lagi dalam kalangan penyokong tanah air selepas satu-satunya pemain Malaysia yang berjaya membolosi gawang skuad England pada tahun 1991 walaupun tewas 2-4 dalam perlawanan tersebut.

WhatsApp Image 2023-09-07 at 18.52.35 (3)

Pemain Sabah FC, Sappie Ashri. — Facebook/Sabahfc

Berikut Majoriti menyenaraikan tiga sebab muda Sabah digelar jelmaan Matlan Marjan.

1. Penampilan

Jika ada yang mengikuti perkembangan bola sepak pasukan Sabah FC, sudah tentu kenal dengan bekas penyerang dan ketua pasukan kebangsaan, Matlan Marjan yang terkenal dengan penampilan gaya rambut panjang paras bahu pada zaman 80-an.

Gaya rambut Matlan Marjan menjadi ikutan dan fenomena para penyokong bola sepak Sabah ketika itu dan kini turut disamakan dengan Sappie.

Susulan itu, ramai penyokong berpendapat bahawa jaringan ketiga yang dihasilkan tersebut disebabkan oleh gaya rambut yang sama dengan legenda Sabah.

2. Lincah

Bukan sahaja gaya rambut yang disamakan malah kelincahan dan kelajuan legenda Sabah itu turut mempunyai persamaan dengan Sappie.

Dengan usianya 20 tahun sudah tentu dia dijangka mampu mencetak lebih banyak jaringan jika diberi peluang oleh pengendali Sabah FC.

Bukan itu sahaja, persamaan yang dengan legenda Sabah itu merupakan khabar baik untuk penyokong bola sepak Sang Badak kerana dia berpotensi menjadi 'kembar' Matlan.

3. Anak jati Sabah

Melihat kepada barisan pemain yang sedia ada dalam skuad Sang Badak, rata-ratanya dibawa masuk dari Semenanjung FC untuk memantapkan pasukan Sabah.

Sudah pasti ramai penyokong mahu melihat anak jati Sabah berbakti dalam skuad senior pasukan tersebut berikutan Matlan juga merupakan anak jati kelahiran Sabah.

Berikutan perkara itu, Sappie yang merupakan anak kelahiran Tawau itu dijangka mampu memberikan saingan kepada pemain-pemain utama Sabah FC dalam mendapatkan tempat untuk menjadi kesebelasan utama.

Selepas ini, Sabah bakal memulakan perlawanan Kumpulan H kempen Piala AFC berdepan kelab Singapura, Hougang United pada 21 September nanti.

Selain Hougang United, Sabah juga diundi bersama juara Liga Indonesia, PSM Makassar dan naib juara Liga Vietnam musim lalu, Haiphong FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram