KEMENANGAN diraih skuad B-23 kebangsaan dalam pusingan kelayakan Piala AFC menentang Bangladesh pada Rabu nyata menceriakan peminat bola sepak tanah air.
Meskipun mempamerkan aksi cukup mendebarkan, pasukan negara berjaya menang dengan keputusan 4-1 sekali gus meneruskan cabaran apabila bakal menentang skuad Filipina pada Sabtu ini.
Mendahului 2-0 di separuh masa pertama, babak kedua melihatkan asakan bertali arus dilakukan ke arah kubu pertahanan lawan yang menyaksikan anak-anak buah E. Elavarasan berjaya menamatkan perlawanan dengan dua lagi gol tambahan untuk menutup perlawanan dengan kemenangan bergaya.
Paling mencuri perhatian semestinya jaringan jarak jauh dihasilkan penyerang muda Selangor FC, Aliff Izwan Yuslan yang menewaskan penjaga gol Bengal Tigers, Mehedi Hasan Srabon pada minit ke-82.
Merupakan antara pemain termuda dalam kalangan rakan sepasukannya, pemain tengah berusia 19 tahun itu nyata bersemangat dan mempamerkan keinginan tinggi dalam membantu skuad negara memburu kelayakan ke Piala Asia B-23 2024.
Izwan Yuslan tampil cemerlang bersama skuad B-23 menentang Bangladesh pada Rabu.
Bertitik tolak daripada itu, kecemerlangannya mula menjadi bualan hangat dalam kalangan penyokong khususnya pasukan Gergasi Merah yang sudah terbayang akan prospek ubi muda yang mampu diketengahkan untuk jangka masa panjang.
Di saingan Liga Super, Aliff Izwan Yuslan hanya mencatatkan enam penampilan dengan hanya satu gol diperoleh setakat ini.
Kurang mendapat perhatian jurulatih Tan Cheng Hoe dalam kesebelasan utama, namun aksi dipamerkan bersama pasukan negara nyata mengubah persepsi peminat terhadapnya.
Mempunyai kualiti sepakan jarak jauh dan berkaki kidal, kelincahan dipamerkan di atas padang saling tidak tumpah seperti penyerang sensasi Johor Darul Takzim (JDT) iaitu Safawi Rasid.
Gemar melakukan larian solo dan mempunyai kawalan bola kemas, kelibatnya bersama skuad Selangor digesa untuk dikekalkan pada musim akan datang sebagai pemain harapan yang mampu menyumbang kejayaan kepada pasukan tersebut.
Aliff Izwan Yuslan gagal mendapat tempat di kesebelasan utama pasukan Selangor. — Facebook/SelangorFC
Malah, segelintir penyokong mula berpendapat, pemain itu perlu diikat segera sebelum dirampas kelab lain khususnya pasukan Harimau Selatan.
"Kaki rembat dia ni, padu sepakan jarak jauh jadi Selangor memang kena ikat ketat sebelum dirampas," kata Azim Hasan.
"Payah la nak ikat selagi ada kelab kaki sakau, itu yang panas terbakar bila sembang bab anak jati," ujar Mukhtar Hashim.
"JDT sentiasa memerhati, apa-apa pun Tan Cheng Hoe perlu berikan lebih pendedahan pada bakat muda macam ini, satu hari nanti boleh kembangkan gaya permainan dia dan jadi tonggak utama," jelas Farhan Aqil.
"Gol dia lawan Bangladesh memang cantik, seorang pemain yang sentiasa tersenyum atas padang, baru berusia 19 tahun dan Selangor perlu ikat ketat-ketat Izwan Yuslan ni sebab dia ubi muda yang berpotensi tinggi," tambah Musa Ismail.
Pada perlawanan berikutnya, pasukan negara dijadualkan bertemu Filipina pada Sabtu, 9 September 2023 (5.30 petang waktu Malaysia) dan tuan rumah, Thailand pada Selasa, 12 September 2023 (9.30 malam waktu Malaysia) dengan kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Chonburi, Thailand.
Sebanyak 16 pasukan terdiri daripada 11 pasukan juara kumpulan dalam saingan kelayakan (Kumpulan A hingga K) bersama-sama empat pasukan tempat kedua kumpulan terbaik dan tuan rumah, Qatar akan layak beraksi di Piala Asia B-23 2024 yang akan berlangsung di Qatar pada 2024. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram