SABAH FC memanfaatkan waktu rehat Liga Malaysia (Liga M) dengan mengadakan perlawanan persahabatan menentang skuad kebangsaan Brunei di Stadium Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, Brunei pada Rabu.
Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee, mudah menewaskan skuad nasional Brunei dengan keputusan 3-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 2 itu.
Meskipun menang bergaya menumpaskan pasukan yang berada di ranking ke-190 dunia itu, penyokong Sabah masih tidak berpuas hati dengan prestasi posisi pertahanan Sang Badak.
Ia selepas bekas penyerang UiTM FC, Adi Said berjaya membolosi gawang gol Sang Badak selepas melepasi pertahanan Sabah, Gabriel Peres.
Mungkin ini hanya perlawanan persahabatan, tetapi untuk melangkah ke perlawanan Asia benteng pertahanan perlu lebih fokus daripada melakukan kesilapan mudah.
Selepas Adi Said, Majoriti senaraikan tiga pemain tumpuan pihak lawan yang mampu memadam impian Sabah melangkah lebih jauh dalam kejohanan Piala AFC 2023:
Krajcek sudah pun mencetak sembilan gol dan assist dalam 19 perlawanan Liga Singapura musim ini. — Agensi
1. Kristijan Krajcek (Hougang United)
Tersenarai antara 10 penjaring terbanyak Singapore Premier League (SPL) musim ini, Kristijan Krajcek pastinya mahu membantu Hougang United melangkah lebih jauh dalam saingan Piala AFC kali ini.
Beraksi di posisi sayap kiri, Krajcek sudah pun mencetak sembilan gol dan assist dalam 19 perlawanan Liga Singapura musim ini.
Mempunyai pengalaman beraksi dalam Piala AFC musim lalu bersama Hougang, penyerang kelahiran Croatia itu pastinya sudah mengenali suasana kompetitif dalam kejohanan itu.
Sejak mewakili Hougang, pemain berusia 29 tahun itu sudah menjaringkan 21 gol dan 26 bantuan jaringan dan musim ini dia merupakan penjaring terbanyak untuk pasukannya.
Musim lalu, Krajcek membantu Hougang menewaskan Tampines Rovers untuk mendakap Piala Singapura yang mana dia menjadi penyumbang terbesar apabila mencatatkan hatrik sekali gus kelabnya dinobatkan sebagai juara.
Nambu berpengalaman luas dalam Liga Thailand apabila menyertai lima buah pasukan sejak meninggalkan negara kelahiran pada 2019. — Agensi
2. Kenzo Nambu (PSM Makassar)
Dalam 11 perlawanan Liga 1 Indonesia, Kenzo Nambu antara penjaring terbanyak buat PSM Makassar ketika ini selepas dia menjaringkan lima gol dalam lima penampilan terakhir.
Pemain tengah Jepun itu berpengalaman luas dalam Liga Thailand apabila menyertai lima buah pasukan sejak meninggalkan negara kelahiran pada 2019.
Corak permainan pantas yang dipamerkan Nambu mampu menggugat benteng pertahanan Sabah jika mudah melakukan kesilapan ketika menentang PSM Makassar.
Bukan hanya penjaring terbanyak pasukan musim ini, Nambu juga membantu kelab itu menamatkan kemarau kemenangan selama 23 tahun untuk bergelar juara Liga 1 Indonesia 2022/23.
Pemain berusia 31 tahun itu merupakan arkitek PSM Makaassar untuk memulakan serangan dan menembusi benteng pertahanan lawan.
Mpande merupakan bekas penjaring terbanyak Liga Nasional Myanmar pada 2017/18 sebelum berhijrah ke Vietnam. — Agensi
3. Joseph Mpande (Hai Phong FC)
Naib juara saingan domestik Vietnam musim lalu ini juga merupakan lawan yang tidak boleh dipandang enteng oleh Sabah FC.
Ini kerana Joseph Mpande merupakan bekas penjaring terbanyak Liga Nasional Myanmar pada 2017/18 sebelum berhijrah ke Vietnam.
Bekas pemain kebangsaan Uganda itu sudah lama beraksi bersama Hai Phong FC dan musim ini antara pemain yang banyak menjaringkan gol untuk pasukannya.
Mempunyai pengalaman beraksi di benua Afrika pastinya memberi kelebihan buat Mpande menggunakan fizikalnya untuk menembusi benteng pertahanan Sabah.
Tahun ini merupakan pengalaman pertama Mpande beraksi dalam Piala AFC, tetapi sebelum itu sudah pun didedahkan dengan bermain di peringkat 'play-off' Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Terengganu dan Sabah diundi dalam dua kumpulan berbeza di Piala AFC.
Sabah bakal memulakan perlawanan Kumpulan H kempen Piala AFC berdepan kelab Singapura, Hougang United pada 21 September nanti.
Selain Hougang United, Sabah juga diundi bersama juara Liga Indonesia, PSM Makassar dan naib juara Liga Vietnam musim lalu, Haiphong FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram