'Tak sama Thailand, Indonesia', jurulatih dedah punca Malaysia mudah tewas di peringkat antarabangsa


  • Podium
  • Khamis, 07 Sep 2023

Skuad futsal negara akan mendapat sentuhan baharu daripada jurulatih terbaik Thailand, Rakphol. — Bernama

KETUA jurulatih baharu futsal kebangsaan, Rakphol Sainetngam mendedahkan punca utama pasukan futsal negara sering tewas di peringkat antarabangsa apabila bertemu seteru utama Thailand dan Indonesia.

Menerusi perkongsian Wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi di Twitter, Rakphol menegaskan tugas pertamanya selaku jurulatih futsal kebangsaan ialah untuk mengubah mentaliti kesemua pemain-pemain negara.

Rakphol turut berkongsi mentaliti pemain-pemain futsal Indonesia dan Thailand amat berbeza dengan pasukan negara disebabkan yang menyebabkan skuad kebangsaan mudah ditewaskan jika beraksi di peringkat antarabangsa.

"Satu perkara untuk pemain, kami mudah menewaskan futsal Malaysia kerana mentaliti daripada pemain tidak begitu kuat.

"Tak sama seperti pemain-pemain Thailand atau Indonesia, ia kerana saya mempunyai pengalaman berada di dua negara tersebut.

"Saya tahu mentaliti pemain di Malaysia macam mana, dan disebabkan itu mentaliti ialah perkara pertama yang kita perlu ubah," katanya pada Astro Arena.

Rakphol

Rakphol berpengalaman luas sebagai jurulatih futsal di Thailand dan Indonesia. Astro Arena

Sebelum ini, jurulatih terbaik Liga Futsal Thailand itu mengisi kekosongan ditinggalkan bekas pengendali, Chiew Chun Yong selama dua tahun.

Untuk rekod, Rakphol berpengalaman luas sebagai jurulatih futsal di Thailand sama ada bersama skuad futsal lelaki dan wanita kebangsaan Thailand serta membimbing kelab Rattanabundit University (2009-2012) dan Chonburi Bluewave (2012-2019).

Di peringkat Liga Futsal Thailand, Rakphol berjaya membawa pasukan bimbingannya muncul juara pada 2010, 2011/12, 2013, 2014, 2015, 2016 dan 2017 selain turut menjuarai Kejuaraan Futsal Kelab AFC 2017 bersama Chonburi Bluewave.

Pada peringkat pasukan kebangsaan pula, Rakphol membimbing Thailand selaku ketua jurulatih untuk menjuarai Sukan Universiti Asean 2010, tempat keempat Kejuaraan Futsal Universiti Dunia 2012 dan layak ke pusingan 16 terbaik di Piala Dunia Futsal 2021 selain beberapa lagi kejayaan selaku penolong ketua jurulatih kebangsaan.

Rakphol turut membawa skuad futsal wanita kebangsaan Thailand meraih pingat emas Sukan SEA 2011, pingat emas Kejuaraan Universiti Asean 2010 dan 2015 serta tempat ketiga pada Kejuaraan Futsal AFC 2015.

Sebelum ke Malaysia, Rakphol terlebih dahulu membimbing kelab Indonesia, Black Steel FC Papua yang berjaya membawa kelab itu menjuarai Kejuaraan Futsal Kelab AFF 2023 di Korat, Thailand pada Mei lalu dan seterusnya meraih tempat ketiga Liga Futsal Profesional Indonesia 2022/23. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram