KELANTAN FC kini berada dalam bahaya apabila mungkin tersingkir ke Liga M3 berikutan prestasi semasa pasukan yang berada di tempat ke-13 dalam Liga Super selain pelbagai konflik dalaman yang sedang hangat dikaitkan dengan pemilik, Norizam Tukiman.
The Red Warriors (TRW) dibolosi 29 gol dalam tiga perlawanan terakhir sebelum Liga Super berehat untuk memberi laluan kepada pasukan kebangsaan beraksi dalam dua perlawanan persahabatan menentang Syria dan China.
Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham dalam Facebook miliknya meluahkan isi hatinya tentang prestasi pasukan Kelantan yang mana musim ini bermula dengan pelbagai dugaan.
"Kelantan FC di hati ku, tiada pemilik nak pasukan dia lemah dan kalah. Tahun lepas kita di atas liga, tahun ini kita bermula dengan penuh dugaan dan cabaran.
"Saya lalui dengan tabah, Insha-ALLAH lambat laun penyokong akan faham susah payah penat lelah saya untuk Kelantan FC.
"Untuk sekarang, anda mahu 'takir' saya redha sahaja, anda ada hak," katanya.
Perkongsian Zamsaham dalam Facebook.
Luahan hati oleh Zamsaham itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang mana ada mendakwa cara layanan dia terhadap pemain-pemain Kelantan tidak begitu bagus.
"Orang kecam bukan sebab kalah sahaja, tapi kau buat pemain Kelantan itu macam robot. Buat kerja untuk kau lepas itu gaji tak nak bayar.
"Gantung gaji pemain, berpunca dari situ orang tak berhenti kecam kau, ditambah pula bila Kelantan jadi pasukan belasahan," kata Af Fiz.
"Penonton hanya mahu menang dan bangga negeri mereka maju dalam bola sepak, tapi kalau mahu ambil alih pasukan cakap besar sahaja tapi tiada modal bukan senang," jelas Daud Atan.
"Tahun lepas di atas liga, tapi dia tak nampak pun siap hina pemain lagi, tahun ini dibawah agaknya baru sedar bila tengah susah," jelas Aimi Fatimah.
Tengku Mahkota Johor.
Kelutan peminat bahawa pemain bukan robot itu seolah-olah mengulangi kenyataan yang pernah dilontarkan pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Sebelum ini, TMJ pernah mempertahankan tindakan 14 pemain yang menolak panggilan skuad Harimau Malaya menjelang saingan Piala AFF pada 21 Disember tahun lalu.
Jelas Tunku Ismail, pemain bola sepak bukanlah 'mesin' yang mampu bermain sepanjang tahun tanpa cuti.
"Pemain tidak menolak (panggilan skuad negara) buta-buta. Mereka sentiasa memberikan komitmen yang tinggi apabila mewakili pasukan kebangsaan.
"Kita boleh tengok dengan persembahan pemain dalam pasukan kebangsaan apabila mereka bermain di setiap pertandingan yang ada dalam kalendar FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa). Tetapi, pemain juga adalah manusia yang bekerja, berlatih, main semenjak bulan Januari.
"Manusia mana kerja tanpa cuti? Apabila liga atau pertandingan kita rehat, pemain kebangsaan tiada rehat kerana mereka ada latihan pusat selama tiga minggu," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram