[VIDEO] 'Ini baru atlet profesional', ekor Harimau Muda puji cara Alif Izwan respons dengan media antarabangsa


  • Podium
  • Khamis, 07 Sep 2023

Alif memecah kebuntuan skuad B-23 negara dengan rembatan deras luar kotak penalti pada minit ke-81 ketika menentang Bangladesh. — Facebook/FAM

SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) negara memulakan kempen kelayakan Piala Asia B-23 dengan langkah kanan apabila mengumpul tiga mata ketika berdepan Bangladesh di Stadium Chonburi, Thailand pada Rabu.

Meskipun menguasai permainan, pasukan muda kebangsaan dilihat buntu untuk memecahkan benteng pertahanan lawan dengan tiada jaringan terhasil pada separuh masa pertama.

Bagaimanapun, memasuki minit ke-81 permainan, pemain tengah negara, Alif Izwan Yuslan tampil menjadi wira apabila melakukan percubaan dari luar kotak penalti.

Alif Izwan

Umar Hakeem meraikan jaringan padu Alif ketika menewaskan Bangladesh pada Rabu. — Facebook/FAM

Selepas jaringan itu, Fergus Tierney turut mencetak nama sebagai peledak selepas mudah mengelirukan benteng pertahanan lawan.

Keputusan kekal 2-0 sehingga wisel penamat ditiupkan oleh pengadil perlawanan.

Selepas perlawanan bukan sahaja rembatan deras luar kotak penalti mendapat pujian daripada orang ramai.

Malah Alif turut mendapat respons positif daripada penyokong bola sepak tanah air apabila dia tenang menjawab segala persoalan daripada media antarabangsa dalam Bahasa Inggeris dengan sangat lancar.

"Saya rasa untuk hari ini (Rabu), rakan sepasukan saya selalu sokong saya disebabkan itu saya boleh pamer prestasi seperti ini.

"Rasa hebat, kerana ini adalah Kelayakan Piala Asia B-23 dan saya antara paling muda dalam skuad. Saya baru berusia 19 tahun disebabkan itu saya sangat gembira.

"Untuk perlawanan seterusnya, sekali lagi kami mahukan kemenangan dan kami sentiasa mahukan kemenangan dan kami mahu layak ke pusingan seterusnya.

"Selepas ini kami harus memastikan kesemua pemain dapat rehat yang cukup dan fokus perlawanan seterusnya," katanya.

Antara reaski daripada penyokong bola sepak selepas melihat video temu bual Alif bersama media antarabangsa di sosial media.

"Padu cara dia jawab, macam ini barulah profesional," kata @Sirhudhud.

"Penyampaian yang baik, teruskan momentum macam ini," jelas @Ejumpmalik81.

"Dulu dekat sekolah suka tidur, tapi sekarang padu English dia," ujar @Mipanzhuu.

Malaysia kini berada di tempat kedua dalam Kumpulan H selepas tuan rumah, Thailand menewaskan Filipina dengan keputusan 5-0 di Stadium Chonburi.

Selepas ini anak-anak buah E. Elavarasan akan bertemu Filipina pada 9 September untuk memastikan berada dalam kumpulan dua terbaik bagi layak ke Piala Asia B23 2024. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram