Menang bergaya ke atas Brunei, fans Sabah harap OKS perbaiki posisi kritikal sebelum Piala AFC


  • Podium
  • Khamis, 07 Sep 2023

Pemain-pemain Sabah meraikan jaringan Jafri ketika menentang Brunei pada Rabu.

SABAH FC mudah menewaskan skuad nasional Brunei dengan keputusan 3-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 2 di Stadium Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, Brunei pada Rabu.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee, berjaya membolosi gawang gol Brunei seawal minit ke-12 hasil sepakan penalti Ramon Machado.

Perlawanan kembali seimbang selepas Sabah dan Brunei memiliki peluang untuk disudahkan namun percubaan berjaya dihalang benteng pertahanan lawan masing-masing.

Sabah FC

Kesebelasan utama Sabah ketika menentang Brunei. Facebook/Sabah FC

Sebelum tamat separuh masa pertama, Brunei mendapat peluang pada minit ke-40 hasil kesilapan pertahanan Sabah namun percubaan anak buah Mario Rivera tersasar.

Bersambung babak kedua, Brunei kembali bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi bekas penyerang UiTM FC, Adi Said selepas berjaya melepasi pertahanan Sabah, Gabriel Peres pada minit ke-56.

Sabah kembali di hadapan apabila menghukum kelekaan serta kealpaan pertahanan Brunei menerusi jaringan Jafri Firdaus Chew pada minit ke-69.

Sebelum wisel penamat ditiupkan, Sabah menambah lagi satu jaringan menerusi pemain muda, Sappie Ashri selepas menerima hantaran lintang daripada rakan sepasukan.

Ong Kim Swee

Kim Swee memberikan taklimat sebelum perlawanan bermula. Facebook/Sabah FC

Meskipun menang bergaya menumpaskan pasukan yang berada di ranking ke-190 dunia itu, penyokong Sabah masih tidak berpuas hati dengan prestasi posisi pertahanan Sang Badak.

"Tahniah Sabah, cuma masih berlaku kesilapan di barisan pertahanan menyebabkan Brunei dapat skor satu gol," kata Hassan Kas Haji Lamit.

"Serangan dah mantap, harap Sabah dapat kuatkan lagi pertahanan," jelas Mohd Jaya Hawareh.

"Terbaik Sabah, cuma ketika 'leading' kena berhati-hati jangan ada 'mistake' sebab pihak lawan akan ambil kesempatan menjaringkan gol," luah Rockey Johnrabbi.

"Harap Kim Swee dapat perkemaskan semula pertahanan Sabah, ini baru lawan Brunei nanti Piala AFC lagi hebat pasukan yang datang," ujar Mokhsin Jumaat.

Selepas ini, Sabah bakal memulakan perlawanan Kumpulan H kempen Piala AFC berdepan kelab Singapura, Hougang United pada 21 September nanti.

Selain Hougang United, Sabah juga diundi bersama juara Liga Indonesia, PSM Makassar dan naib juara Liga Vietnam musim lalu, Haiphong FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram