SEJAK jendela perpindahan Julai lalu melabuhkan tirainya, kelibat tonggak tengah Johor Darul Takzim (JDT), Leandro Velazquez tidak kelihatan dalam mana-mana perlawanan Harimau Selatan.
Melihat kepada statistik perlawanan Liga Super JDT, Leandro sudah tidak diturunkan dalam tiga aksi iaitu ketika menentang Sabah FC, Perak FC dan juga Kedah Darul Aman (KDA FC) pada 26 Ogos lalu.
Kali terakhir pemain berusia 34 tahun itu dilihat menyarung jersi JDT adalah pada 29 Julai lalu dalam aksi Liga Super menentang Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) yang menyaksikan dia sempat bermain sebelum dikeluarkan pada minit ke-63.
Pelbagai khabar angin mengaitkan masa depan pemain import Argentina itu, ada yang membuat dakwaan mengatakan Leandro mengalami masalah kecederaan dan tidak kurang juga penyokong yang mulai menimbulkan spekulasi bahawa dia akan meninggalkan pasukan juara itu.
Dakwaan Leandro meninggalkan JDT terhenti selepas pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris akhirnya tampil memberi jawapan dengan mengesahkan bahawa arkitek tengah itu masih kekal bersama Harimau Selatan pada awal Ogos lalu.
Selepas Tunku Ismail, Leandro turut tampil seperti memberi bayangan mengenai masa depannya bersama juara Piala FA 2023 itu dengan memuat naik video dan gambar SSI di laman Instagram peribadinya.
Leandro dan Forestieri difahamkan dalam fasa pemulihan. — Facebook/JDT
Selain gambar dan video SSI, bekas pemain San Martín itu juga memuat naik gambar yang dipercayai merupkan bilik persalinan barisan pemain Harimau Selatan dan kelihatan jersi nombor 10 kepunyaannya masih tergantung.
Kapsyen 'Siempre x ustedes' dalam bahasa Sepanyol bermaksud 'Selalu ada untuk kamu' yang diletakkan bersama gambar-gambar dan video tersebut memberi harapan kepada penyokong menunggu kembali kehadiran Leandro.
Dalam perkembangan berbeza, sebelum ini Majoriti melaporkan bahawa pengendali JDT, Esteban Solari memberitahu status kecederaan yang dialami Leandro dan penyerang Harimau Selatan Fernando Forestieri.
"Forestieri memerlukan tempoh 15 hari lagi untuk pulih jadi kita akan lihat sama ada dia akan cergas sepenuhnya untuk Liga Juara-Juara Asia (ACL) atau tidak.
"Manakala Leandro pula memerlukan tempoh untuk pulih yang lama, saya rasa beberapa bulan untuk dia pulih sepenuhnya," katanya.
Dengan hantaran dari Leandro dan pendedahan dari Solari, pastinya pemain yang dikenal sebagai 'budak nakal JDT' itu hanya menunggu hari untuk kembali menyarung jersi Harimau Selatan dalam masa terdekat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram